PM Anwar Utus Takziah Pemergian ‘Bapa MRSM’

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Allahyarham yang dikenali sebagai 'Bapa MRSM' memberikan sumbangan besar, dalam sejarah pendidikan negara. Foto X Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR, 25 Ogos – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengutus ucapan takziah kepada keluarga pengasas Maktab Rendah Sains Majlis Amanah Rakyat (MARA) (MRSM), Allahyarham Abdul Wahab Alwi, yang meninggal dunia pagi tadi.
Ucapan tersebut yang dizahirkan menerusi hantaran di media sosial memberitahu, Allahyarham yang dikenali sebagai ‘Bapa MRSM’ memberikan sumbangan besar, dalam sejarah pendidikan negara.
“Sumbangan Allahyarham dalam mencetuskan dan membangunkan gagasan MRSM merupakan satu jasa besar dalam sejarah pendidikan negara, khususnya dalam memperluas peluang pendidikan sains kepada anak-anak bangsa.
“Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham, mengampuni segala dosa dan menempatkan beliau dalam kalangan hamba-Nya yang soleh,” ujar Anwar.
Menerusi hasil usaha Abdul Wahab, Perdana Menteri berkata, MRSM berkembang sebagai sebuah institusi yang membentuk ramai anak Malaysia menjadi insan berilmu, berkemahiran dan berjaya dalam pelbagai bidang.
Terdahulu berita pemergian Abdul Wahab, dikongsikan Persatuan Bekas Pelajar MRSM Malaysia (ANSARA) menerusi hantaran di Instagram hari ini.
ANSARA menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai kehilangan seorang tokoh serta insan yang telah membantu mencipta peluang dan membina laluan pendidikan untuk generasi demi generasi anak Malaysia.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
