PM Anwar Umum PETRONAS Muktamad Keputusan Pelaburan Fasa 2 LNG Canada
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, PETRONAS bersama rakan usaha sama memuktamadkan keputusan pelaburan Fasa 2 projek LNG Canada pada 30 September 2026. Foto X Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR, 30 Sep – Khabar gembira dimaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila gergasi tenaga negara, PETRONAS bersama rakan usaha samanya, berjaya memuktamadkan keputusan pelaburan bagi Fasa 2 projek gas asli cecair (LNG) Canada di Kitimat, British Columbia.
Menerusi hantaran di media sosial, Perdana Menteri berkata, keputusan itu membuka jalan kepada pelaburan sektor swasta bernilai CA$33 bilion atau kira-kira RM94.71 bilion.
“Pembesaran ini bakal menjadikan LNG Canada antara kemudahan gas asli cecair terbesar di dunia, sekali gus memperkukuh bekalan tenaga kepada pasaran antarabangsa.

“Tahniah kepada seluruh warga PETRONAS atas kejayaan ini. Keupayaan syarikat negara menjayakan projek tenaga berskala besar bersama rakan antarabangsa turut mencerminkan kepercayaan terhadap kepakaran dan kemampuan Malaysia,” katanya.
Dalam hantaran sama, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan turut menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri Kanada, Mark Carney atas sokongan beliau kepada PETRONAS.
“Saya mengalu-alukan pertemuan bersama Perdana Menteri, Carney dan delegasi Kanada pada masa akan datang bagi memperkukuh hubungan persahabatan serta memperluas kerjasama Malaysia-Kanada,” katanya.

Anwar dan Carney menjalin hubungan rapat terutamanya berkaitan eksplorasi minyak dan gas yang ternyata memberi manfaat kepada kedua-dua negara.
LNG Canada pada Isnin lalu mengumumkan bahawa rakan kongsi usaha samanya iaitu Shell, PETRONAS, PetroChina, Mitsubishi Corporation dan KOGAS membuat keputusan pelaburan akhir bagi pengembangan Fasa 2.
Pengembangan itu merangkumi sebuah tangki penyimpanan LNG tambahan, tangki kondensat dan dermaga pemuatan, selain peluasan sistem utiliti dan pemprosesan.
Menurut Pejabat Perdana Menteri Kanada, pelaburan bernilai C$33 bilion itu akan menjadikan LNG Canada kemudahan kedua terbesar seumpamanya di dunia serta mewujudkan lebih 4,000 pekerjaan langsung sepanjang fasa pembinaan.
LNG Canada ialah usaha sama yang terdiri daripada Shell Canada dengan pegangan 40 peratus, PETRONAS sebanyak 25 peratus, PetroChina dan Mitsubishi Corporation masing-masing 15 peratus, serta KOGAS sebanyak lima peratus.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
