PM Anwar Umum Dana Komuniti MADANI RM1 Bilion Bantu Jana Ekonomi Kampung

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika tiba bagi merasmikan Karnival Usahawan Desa (KUD) @ Putrajaya hari ini. Foto Facebook

PUTRAJAYA, 25 Nov – Kerajaan memperkenalkan Dana Komuniti MADANI (DKM) dengan peruntukan awal sebanyak RM1 bilion khusus untuk membantu setiap kampung atau kawasan penempatan komuniti bagi menjalankan kegiatan ekonomi masing-masing.

Mengumumkan pendekatan baharu itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia merupakan usaha pertama seumpamanya dilaksanakan di negara ini yang akan bermula pada tahun depan sekali gus bakal memberi manfaat puluhan juta rakyat.

Menurut beliau, setiap kampung, desa, rumah panjang atau kawasan projek perumahan rakyat (PPR) di kawasan bandar bakal diberikan sumbangan dana daripada kerajaan berjumlah RM50,000 hingga RM100,000 untuk tujuan tersebut.

“Bukan pegawai kementerian yang akan luluskan projeknya, tetapi kerajaan akan bagi wang ini kepada penghulu, penggawa atau jawatankuasa kampung yang akan memutuskan apakah projek ekonomi untuk kampung mereka.

“Ini kali pertama kita laksanakan bukan untuk tujuan membaiki jambatan atau masjid sebagainya, itu peruntukan lain, yang ini hanya untuk tujuan aktiviti ekonomi seperti tanam sayur atau membuat kraftangan contohnya, yang diputuskan sendiri mereka,” katanya ketika berucap merasmikan Karnival Usahawan Desa (KUD) @ Putrajaya, di sini hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika tiba bagi merasmikan Karnival Usahawan Desa (KUD) @ Putrajaya hari ini. Foto Facebook

Anwar berkata, seluruh agensi dan jabatan di bawah kementerian perlu mengambil perhatian berhubung inisiatif ini untuk membantu mana-mana jawatankuasa komuniti dalam melaksanakan aktiviti ekonomi itu.

Jelasnya, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan pihak Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) akan ditugaskan untuk memantau pelaksanaan dan perjalanan inisiatif berkenaan.

“Ini satu perubahan besar, saya nak tengok apakah mampu orang kampung sendiri memutuskan aktiviti ekonomi mereka yang dilihat kos lebih rendah kerana tak perlu bayar pegawai.

“Syaratnya perlu berbelanja secara berhemah mengikut peraturan. Kalau projek ini berlaku di Malaysia, kita negara pertama apabila puluhan juta rakyat menentukan projek sndiri, menjalankan kegiatan atas semangat musyawarah desa.

“Perbelanjaan peruntukan awal sebanyak RM1 bilion, saya rasa pasti tak cukup, mesti ada kemungkinan tambah sehingga RM2 bilion sebelum akhir tahun kalau perjalanan lancar dan kita berharap pegawai beri kerjasama dan mengelak pertindihan antara jabatan,” katanya.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *