PM Anwar Ucap Tahniah Kejayaan UM Tembusi Kelompok 200 Universiti Terbaik Dunia
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah selaku Canselor Universiti Malaya (UM) pasti berbangga dengan kejayaan UM menembusi 200 universiti terbaik dunia dalam THE World Ranking 2027. Foto UM
KUALA LUMPUR, 30 Sep – Kejayaan bersejarah Universiti Malaya (UM) yang muncul sebagai universiti pertama Malaysia yang menembusi kelompok 200 terbaik dunia dalam ‘Times Higher Education (THE) World University Rankings 2027’ dengan menduduki tempat ke-194, menerima ucapan tahniah daripada Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ucapan tahniah yang disampaikan Perdana Menteri menerusi hantaran di media sosial itu berkata, pencapaian itu mencerminkan kecemerlangan UM dalam bidang pengajaran dan penyelidikan di samping menyuntik keyakinan bahawa institusi pendidikan tinggi negara juga mampu bersaing dengan universiti terkemuka dunia.
“Justeru, kecemerlangan ini mesti terus diperkukuh dengan budaya ilmu yang subur, kebebasan berfikir serta penyelidikan yang menjawab keperluan masyarakat dan negara.

“Universiti harus melahirkan generasi yang tajam akal, teguh nilai dan akhlak serta berani meneroka gagasan baharu,” ujar Anwar.
Kejayaan tersebut, jelas Anwar, juga harus menjadi pemangkin kepada UM dan seluruh institusi pendidikan tinggi negara untuk terus meningkatkan mutu dan mengangkat martabat ilmu.
“Semoga UM terus melakar kejayaan yang mengharumkan nama Malaysia,” katanya.
Semalam, media melaporkan, UM muncul sebagai universiti Malaysia pertama menembusi kelompok 200 terbaik dunia dalam THE World University Rankings, apabila menduduki tempat ke-194 bagi edisi 2027.
Pencapaian berkenaan menyaksikan universiti tertua di negara ini itu melonjak daripada kedudukan dalam kelompok 351 hingga 400 pada edisi 2023.
Kedudukan itu sekali gus meletakkan UM dalam kelompok kira-kira 8.5 peratus yang terbaik, daripada 2,297 universiti yang disenaraikan di seluruh dunia tahun ini, selain kekal sebagai universiti terunggul di Malaysia dalam THE World University Rankings.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
