PM Anwar Ucap Tahniah Atas Persembahan Istimewa Siti Nurhaliza Adakan Konsert Tradisional Gema Bumantara

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyaksikan persembahan konsert Siti Nurhaliza dalam suasana hujan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 17 Oktober 2026. Foto PMO
KUALA LUMPUR, 18 Okt – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin atas persembahan yang cukup istimewa dan penuh jiwa yang ditampilkan pada Konsert Tradisional Gema Bumantara, malam tadi.

Ucapan tahniah Perdana Menteri tersebut dizahirkan menerusi hantaran di media sosial beliau hari ini seraya turut mengucapkan tahniah kepada seluruh pasukan produksi atas kejayaan konsert berkenaan.

“Seronok malam tadi dapat menikmati persembahan Biduanita Negara Datuk Seri Siti Nurhaliza dalam Konsert Tradisional Gema Bumantara yang begitu indah mengangkat kekayaan warisan seni Nusantara.

“Walaupun hujan, semua yang hadir tetap setia hingga ke penghujung persembahan, hebat Datuk Seri Siti, hebat juga semangat peminatnya. Tahniah kepada Datuk Seri Siti dan seluruh pasukan produksi atas persembahan yang cukup istimewa dan penuh jiwa,” kata beliau.

Pada persembahan konsert malam tadi, Anwar ditemani suami Siti, Dato’ Sri Khalid Mohamad Jiwa menyaksikan alunan merdu deretan lagu-lagu hebat seperti Hati Kama yang berduet bersama Noraniza Idris, Cindai, Badarsila, Kurik Kundi, Ya Maulai dan banyak lagi.

Siti turut dibantu para penyanyi hebat seperti Haziq Rosebi dan King Nassar pada konsert yang memakan masa selama kira-kira tiga jam itu.

Perdana Menteri berkata, beliau percaya seni dan budaya amat dekat di hati rakyat dan mahu warisan tersebut terus dihidupkan agar turut dinikmati dan dicintai generasi muda.

“Negara terus kita pacu maju, akar budaya dan jati diri bangsa tetap kita pelihara,” kata beliau.
Konsert Tradisional Gema Bumantara anjuran SN Legacy yang berlangsung di TM Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi berjaya menarik kehadiran 63,000 penonton walaupun berlangsung dalam suasana hujan.

Para penonton turut teruja berdendang bersama-sama Siti Nurhaliza seakan mengubat kerinduan penghibur itu melantunkan irama yang digubah khas bagi konsert berkenaan.

Siti Nurhaliza yang menyedari kehadiran Perdana Menteri, merakamkan penghargaan kepada Anwar kerana meluangkan masa menghadiri konsert berkenaan walaupun mempunyai jadual tugas yang padat.

“Kami berbesar hati menyambut kehadiran Perdana Menteri kita, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Terima kasih kerana sudi hadir memeriahkan konsert muzik tradisional terbesar saya,” katanya ketika berada di pentas selepas menyampaikan persembahan duet bersama penyanyi jemputan, Haziq Rosebi.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
