PM Anwar Ucap Salut, Hargai Petugas, Rakyat Jayakan Hari Kebangsaan 2026

Pujian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap semua pihak dizahirkan dengan kata-kata semangat buat para peserta pada Sambutan Hari Kebangsaan 2026 di Dataran Putrajaya pada 31 Ogos 2026. Foto PMO
KUALA LUMPUR, 31 Ogos – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan penghargaan kepada seluruh petugas dan rakyat yang menjayakan serta hadir pada Sambutan Hari Kebangsaan ke-69 di Putrajaya serta di seluruh negara, hari ini.
Menerusi hantaran di media sosial, Perdana Menteri menyifatkan semangat, disiplin dan kebersamaan yang ditampilkan mencerminkan wajah sebenar Malaysia.

“Salut saya kepada seluruh petugas yang mencurahkan tenaga, masa dan keringat bagi menjayakan Sambutan Hari Kebangsaan tahun ini.
Daripada anggota keselamatan, penjawat awam, pasukan teknikal dan perubatan, petugas kebersihan, para kontinjen, penggiat seni.

“….Warga media hinggalah anak-anak dan sukarelawan, setiap daripada kalian sudah memainkan peranan bermakna dalam memastikan sambutan ini berlangsung dengan tertib, meriah dan penuh jiwa merdeka,” ujar Anwar.
Beliau juga menghargai kehadiran seluruh rakyat yang sanggup berkampung di Putrajaya sejak malam tadi demi bersama-sama memeriahkan sambutan ini.

“Inilah semangat kebersamaan yang kita dambakan, berhimpun dalam satu tekad, meraikan kemerdekaan dan memperkukuh perpaduan.
“Semangat, disiplin dan kebersamaan yang ditampilkan mencerminkan wajah sebenar Malaysia, sebuah negara yang teguh kerana rakyatnya bersatu dan saling melengkapi. Merdeka!” katanya.

Sambutan Hari Kebangsaan 2026 bertema ‘Malaysia MADANI, Kesejahteraan Dinikmati’ pagi tadi merekodkan kehadiran lebih 100,000 pengunjung.
Pelbagai acara memeriahkan sambutan kali ini termasuk perarakan, pertunjukan udara dan persembahan Grafik Manusia membabitkan 1,500 pelajar sekolah.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
