PM Anwar Titip Pesan Pengundi Muda Beri Peluang Calon Kerajaan Wakili Mereka

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menitipkan pesanan agar pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap khususnya anak muda untuk memberi peluang kepada calon Kerajaan Perpaduan Dr. Joohari Ariffin (bersongkok). Foto Facebook Shamsul Iskandar Mohd Akin

NIBONG TEBAL, 27 Jun – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menitipkan pesanan agar pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap khususnya anak muda untuk memberi peluang kepada calon Kerajaan Perpaduan mewakili suara mereka, kata Setiausaha Politik Kanannya Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin.

Beliau yang membawa pesanan itu berkata ia penting supaya lebih banyak program dan pembangunan dari segi infrastruktur dapat dilaksanakan dengan tuntas di Sungai Bakap.

“Sekarang Kerajaan Negeri Pulau Pinang selari dengan Kerajaan Persekutuan… bantulah kerajaan negeri, Perdana Menteri, untuk mengangkat calon yang boleh membantu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis Projek Rumah Hijau Madani B40 di Dewan Gerakan Masyarakat Kampung Sungai Duri di sini hari ini.

Beliau turut memberitahu Anwar cukup prihatin dengan kawasan Sungai Bakap yang juga merupakan tempat lahir Perdana Menteri ke-10 itu dan sentiasa memberikan tumpuan kepada masyarakat setempat di kawasan berkenaan, antaranya peruntukan RM7 juta bagi pembangunan Masjid Lama Sungai Bakap, Seberang Perai Selatan yang diumumkan pada 16 Julai tahun lalu.

Kerajaan Perpaduan mempertaruhkan bekas pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara Dr Joohari Ariffin mewakili Pakatan Harapan (PH) untuk merampas kerusi DUN itu manakala Perikatan Nasional (PN) menamakan bekas eksekutif logistik yang juga Naib Yang Dipertua PAS Nibong Tebal Abidin Ismail.

PRK DUN Sungai Bakap pada 6 Julai ini yang menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Joohari dan Abidin, diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas, akibat keradangan dalam perut.

Terdahulu Shamsul menyerahkan sumbangan berbentuk anak pokok sayur terung, bendi dan cili daripada Syarikat Alam Maju Madani Enterprise kepada 500 keluarga di kawasan setempat bagi membantu mengurangkan beban keluarga B40 menerusi hasil pertanian.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *