PM Anwar Terus Desak AS Ambil Langkah Hentikan Kekejaman Palestin

Datuk Seri Anwar Ibrahim tegaskan bahawa AS mesti memainkan peranan sewajarnya dengan mempengaruhi mana-mana negara sama ada sekutu ataupun seteru bagi menghentikan kekejaman Zionis ke atas Palestin.

KUALA LUMPUR, 19 Mei – Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa Amerika Syarikat (AS) mengambil apa juga langkah yang perlu untuk menghentikan kekejaman di Palestin, termasuk menggesa negara itu berhenti membekalkan senjata kepada Israel.

Perdana Menteri menegaskan bahawa AS mesti memainkan peranan sewajarnya dengan mempengaruhi mana-mana negara sama ada sekutu ataupun seteru bagi menghentikan kekejaman Zionis ke atas Palestin.

Beliau juga menggesa AS menggunakan pengaruh dan hubungan diplomasi dengan negara itu sebagai antara kaedah untuk mengakhiri krisis kemanusiaan di Palestin.

Datuk Seri Anwar Ibrahim tegaskan bahawa AS mesti memainkan peranan sewajarnya dengan mempengaruhi mana-mana negara sama ada sekutu ataupun seteru bagi menghentikan kekejaman Zionis ke atas Palestin.

“Mereka (AS) harus melakukan apa saja yang perlu untuk menghentikan permusuhan, termasuk bukan saja (membekalkan) senjata tetapi juga mereka mempunyai pengaruh, mekanisme dan kemahiran diplomatik.

“Adalah mustahil untuk membayangkan bahawa seorang lelaki (Perdana Menteri Israel) Benjamin Netanyahu, boleh menentukan hal ehwal dunia.

“Faktanya jelas. Mengetahui bahawa kekejaman sedang dilakukan sama ada mereka sekutu, kawan atau negara yang mempunyai paksi dengan anda… anda tidak boleh membenarkan ini (berlaku).

“Jika tidak, anda tidak mempunyai kedudukan moral atau kedudukan di dunia untuk bercakap tentang hubungan antarabangsa, kemanusiaan malah ketenteraan dan hak asasi manusia,” katanya dalam wawancara Talk To Al Jazeera yang disiarkan awal pagi tadi.

Menyentuh sikap negara Barat termasuk AS dalam memperjuangkan hak asasi manusia, Perdana Menteri menggelar ia hanya sebagai retorik.

Jelas Anwar, apa yang berlaku di Palestin sehingga terus melarat bertukar krisis bukti jelas bertentangan dengan perjuangan mereka selama ini dalam hal berkait hak asasi manusia.

Beliau juga melabelkan sikap dan pendirian negara berkenaan sebagai hipokrit dalam isu membabitkan Palestin.

“Sebab itu kita lihat kadang-kadang kebanyakan negara di Barat nampaknya agak hipokrit.

“Dalam perjuangan mereka mengenai hak asasi manusia dan demokrasi, pada masa yang sama (mereka) merelakan (penindasan) jika tidak bertolak ansur dengan kekejaman yang jelas ini terhadap penduduk yang tidak bersalah,” katanya.

Mengimbau kenyataan yang pernah dibuat semasa Mesyuarat Pemimpin Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) tahun lalu, berhubung saranan kepada AS untuk menggesa gencatan senjata segera.

Gesaan itu dibuat Perdana Menteri di hadapan Presiden Joe Biden semasa mesyuarat itu berlangsung.

Selepas kenyataan itu dibuat, Perdana Menteri mendedahkan beliau tidak pernah menerima sebarang maklum balas.

“Saya bercakap dengan (AS) sebagai rakan, sebagai sekutu penting Malaysia yang berada dalam kedudukan itu selama beberapa dekad.

“Anda tidak nafikan bahawa saya rasa kecewa bukan kerana kepentingan kedudukan peribadi saya atau Malaysia, tetapi kerana anda langsung tidak kisah melihat kekejaman yang berlaku setiap hari terhadap wanita dan kanak-kanak. Ia kejam.

“Lihatlah korban, kemanusiaan, tidak memberi peluang kepada sesiapa, wanita ,kanak-kanak dan orang tua untuk terus hidup. Apakah ada istilah lain yang boleh digunakan?” soal Anwar.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *