PM Anwar Terima Kunjungan Hormat Menteri Pertahanan Indonesia Di Putrajaya

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (empat dari kanan) menerima kunjungan hormat Prabowo Subianto (tiga dari kiri) di Seri Perdana, Putrajaya hari ini. Foto Kementerian Pertahanan Republik Indonesia
PUTRAJAYA, 30 Nov – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menerima kunjungan hormat Menteri Pertahanan Indonesia, Prabowo Subianto di Seri Perdana, Putrajaya hari ini.
Turut bersama dalam pertemuan itu adalah Menteri Pertahanan, Datuk Seri Utama Mohamad Hasan dan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah.
Ujarnya, pertemuan tersebut membincangkan pelbagai isu terkait kepentingan bersama Malaysia dan Indonesia.
“Perbincangan bersama TYT Prabowo Subianto termasuklah tentang hubungan bilateral dalam soal pertahanan dan keamanan negara.

“Semoga hubungan kedua negara serumpun ini terus terjalin erat dan utuh buat selamanya, Insya-Allah,” tulisnya dalam hantaran Facebook hari ini.
Terdahulu, ketibaan Prabowo disambut oleh Mohamad di Pangkalan Udara Subang sempena lawatan beliau ke Malaysia dan dijadualkan pulang ke Indonesia pada hari yang sama.
Untuk rekod, Prabowo sebelum ini telah bertemu Anwar pada Mei lalu sempena Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA ’23).
Sebelum itu, Mohamad juga pernah menemui Prabowo di Kompleks Bangunan Kementerian Pertahanan, Jakarta bagi membincangkan kerjasama dua hala dalam pelbagai aspek yang dianggap sebagai ‘produktif’ oleh Kementerian Pertahanan Malaysia.
Terdahulu Subianto dilapor berlepas ke Malaysia pada pagi Khamis untuk kunjungan hormat ke atas Anwar.
Walaupun kempen Pilihan Raya Presiden 2024 sedang berlangsung, beliau tidak mengambil cuti pada hari ketiga dan meneruskan tugasnya sebagai Menteri Pertahanan, lapor Agensi Berita ANTARA.
“Aktiviti menteri hari ini melibatkan kunjungan hormat ke atas Datuk Seri Anwar di Putrajaya,” kata jurucakap Kementerian Pertahanan Brigedier Jeneral Edwin Adrian Sumantha ketika dihubungi.
Seorang penganalisis melihat pertemuan menteri pertahanan itu dengan Anwar sebagai langkah positif dalam mengukuhkan kerjasama dan persahabatan antara Indonesia dan Malaysia.
Pada Oktober, bekas gabenor Jakarta dan calon presiden, Anis Baswedan melawat Malaysia untuk bertemu dengan Anwar di Putrajaya.
“Ia akan bermanfaat jika presiden Indonesia seterusnya, selepas pilihan raya pada 14 Februari 2024 berkomunikasi lebih rapat dengan Datuk Seri Anwar,” kata penganalisis komunikasi politik Dr Hendri Satrio.

Beliau berkata hubungan rapat antara kedua-dua negara mencerminkan kekuatan demokrasi dan akan diiktiraf oleh kedua-dua negara serantau dan bukan anggota ASEAN.
Semasa ditanya jika bekas gabenor Jawa Tengah yang juga calon presiden, Ganjar Pranowo akan turut melawat Malaysia, Hendri berkata beliau tidak mengetahui sebarang rancangan sedemikian.
Indonesia memulakan kempen pilihan raya presiden 2024 pada Selasa dengan tiga calon bersaing untuk menggantikan Joko Widodo (Jokowi) yang penggal kedua sebagai presiden berakhir pada Oktober 2024.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
