PM Anwar Terharu Terima Gambar Kemenangan Kerusi Parlimen Pertama

IMG_9982

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sultanah Asma menunjukkan foto Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meraikan kemenangan pertama beliau di kerusi Parlimen Permatang Pauh pada 1982 pada 3 November 2026. Foto X Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 3 Nov – Sekeping gambar lama daripada seorang pelajar dari Alor Setar, Kedah yang merakamkan kenangan Datuk Seri Anwar Ibrahim meraikan kemenangan pertama beliau di kerusi Parlimen Permatang Pauh pada 1982, membuatkan beliau merasa terharu dengan kesungguhan pelajar itu.

Menerusi hantaran di media sosial, Perdana Menteri berkata, foto tersebut dikongsikan adik Zahra Mohamad Zelman ketika beliau disapa pelajar itu bersama dengan rakan-rakannya dari Sekolah Menengah Kebangsaan Sultanah Asma di Parlimen hari ini.

Anwar berkata, foto itu merakamkan detik beliau diraikan oleh moyang kepada Zahra iaitu Allahyarham Arshad Ahmad, selepas memenangi kerusi Permatang Pauh yang juga ditandinginya buat kali pertama pada ketika itu.

Foto kenangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meraikan kemenangan pertama beliau di kerusi Parlimen Permatang Pauh pada 1982. Foto X Anwar Ibrahim

“Sekeping gambar, tetapi menyimpan begitu banyak kenangan dan kisah. Waktu yang cuba diimbau itu sudah lama berlalu, namun ingatan terhadap insan-insan serta kalangan mereka yang pernah hadir dan menjadi sebahagian daripada perjalanan panjang perjuangan kekal di sanubari yang terdalam,” ujarnya.

Pada pertemuan itu, Anwar turut berpesan kepada Zahra dan rakan-rakannya agar terus menuntut ilmu, berani menyimpan dan mengejar cita-cita serta tidak pernah berhenti berusaha selain turut mendoakan agar perjalanan kehidupan mereka sentiasa dipermudah.

Anwar yang juga Menteri Kewangan biasanya akan menghadiri Sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat setiap hari Selasa kecuali apabila mengadakan lawatan rasmi ke luar negara.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *