PM Anwar Tekad Noktah Miskin Tegar Julai Ini

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada Majlis Libat Urus Belanjawan 2025 di Kementerian Kewangan hari ini. Foto Bernama

PUTRAJAYA, 9 Jul – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi menyuarakan hasrat untuk menoktahkan kemiskinan tegar dalam negara tahun ini.

Anwar berkata selaras usaha pembasmian kemiskinan tegar, kerajaan juga akan meningkatkan prasarana untuk kemudahan rakyat.

Ia termasuk menjamin pembangunan infrastruktur pendidikan dan kemudahan kesihatan.

“Kemiskinan tegar sekurang-kurangnya kita selesaikan dalam 10 negeri, akhir Julai, insya-Allah kita selesaikan.

“..Sasaran menoktahkan kemiskinan tegar, tapi kemiskinan relatif itu masih wujud dan mungkin ada nanti peninggalan (baki) dalam beberapa peratus kemiskinan tegar yang harus ditangani.

“..Kemudian, prasarana-prasarana asas, menjamin mutu pendidikan, kemudahan kesihatan harus kita tingkatkan,” kata Anwar.

Beliau juga mahu strategi baharu difikirkan bagi menghapuskan kartel, monopoli dan ketirisan.

Seterusnya, pulangan tersebut akan dapat disalurkan semula dalam bentuk bantuan kepada rakyat.

Dalam pada itu, Anwar berkata Belanjawan 2025 merupakan kesinambungan usaha menzahirkan hasrat Ekonomi MADANI.

Anwar berkata antara usaha tersebut termasuk pencapaian awal dalam beberapa badan penarafan yang secara tidak langsung menyumbang kepada hasrat tersebut.

“S&P Global Ratings dan Fitch Ratings mengekalkan penarafan kredit berdaulat Malaysia.. A- dan BBB+ dengan tinjauan stabil.

“Pertumbuhan KDNK (Keluaran Dalam Negeri Kasar) suku tahun pertama 2024, 4.2 peratus..berbanding dengan suku keempat 2023, yang mencatat pertumbuhan 3 peratus. Lonjakan untuk ‘first quarter’ (suku pertama) itu meyakinkan.

“Ketiga pemulihan eksport barangan dengan pertumbuhan 5.2 peratus pada suku pertama 2024 berbanding penguncupan 8.1 peratus untuk tahun 2023,” kata Anwar.

Tambah beliau lagi, Malaysia turut mencapai paras Indeks Bursa FBM KLCI melepasi 1,600 mata dan nilai pasaran ekuiti domestik mencecah angka tertinggi dalam sejarah.

Selain, pencapaian tertinggi Pelaburan Langsung Asing (FDI) yang diluluskan tahun 2023 sebanyak RM329.5 bilion.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *