PM Anwar Sumbangkan RM40,000 Kepada Waris Mangsa Kemalangan Bas

Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin (kanan) dan Dr Norzakiah (kiri) bertanya khabar kepada Huda Hamiza Zulsham (tengah) iaitu anak kepada Dahlia Ahmad ketika menziarahi keluarga mangsa di Kampung Sungai Tuang hari ini. Foto Bernama

ALOR GAJAH, 10 Jun – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyampaikan sumbangan berjumlah RM40,000 kepada waris keluarga empat individu yang meninggal dunia terbabit dalam kemalangan bas di Jalan Kuantan-Segamat, Pahang awal pagi Ahad.

Sumbangan RM10,000 kepada setiap keluarga itu disampaikan menerusi Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin yang turut hadir menyantuni kesemua keluarga terlibat.

Shamsul Iskandar ketika ditemui pemberita berkata sumbangan itu adalah sebagai tanda keperhatinan Perdana Menteri dan kerajaan kepada keluarga yang diuji dengan ujian sangat berat, di samping turut melahirkan rasa simpati kepada keluarga berkenaan.

“Datuk Seri Anwar turut mengucapkan terima kasih kepada semua pasukan penyelamat serta sukarelawan yang telah bekerja tanpa mengenal penat lelah dalam usaha membantu mangsa kemalangan.

“Kerajaan juga komited untuk terus berusaha memastikan keselamatan rakyat dan mengambil langkah-langkah pencegahan untuk mengelakkan tragedi seperti ini daripada berulang di masa hadapan,” katanya ketika ditemui di pekan Ramuan China Besar di sini hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mewakilkan Setiausaha Politik Kanan, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin menyantuni dan menziarahi keluarga mangsa nahas di Ramuan China Besar, Alor Gajah hari ini. Foto Facebook Anwar Ibrahim

Terdahulu beliau meluangkan masa bertanya khabar dan menyampaikan ucapan takziah daripada Perdana Menteri kepada keluarga arwah Hasnatul Adilah Hassan, 48, yang juga Penolong Kanan Sekolah Kebangsaan (SK) Jeram.

Beliau turut menziarahi keluarga guru SK Jeram Dahlia Ahmad, 52, di Kampung Sungai Tuang, keluarga Pembantu Operasi SK Jeram, Hamzah Ahmad, 60, di Kampung Londang dan keluarga Hadi Asyraf Mad Idris, 29, di Padang Temu.

Dalam nahas jalan raya itu, bas yang membawa 39 orang termasuk dua pemandu terbalik di cerun jalan selepas hilang kawalan dan melanggar sebuah treler yang membawa muatan gelung besi.

Bas berkenaan dilaporkan dalam perjalanan membawa rombongan guru dari sekolah itu bersama anak mereka ke Terengganu untuk menghadiri satu program penanda aras.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *