PM Anwar Lulus Peruntukan RM1 Juta Baik Pulih Kuarters IPD Marang

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim diiringi Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail meninjau kuarters IPD Marang dalam lawatan kerja ke Terengganu pada Rabu. Foto Facebook Anwar Ibrahim

MARANG, 10 Jul – Datuk Seri Anwar Ibrahim meluluskan peruntukan RM1 juta bagi membaik pulih 20 unit kuarters kediaman di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang, Terengganu pada Rabu.

Perdana Menteri berkata demikian selepas melakukan tinjauan keadaan kuarters di IPD yang memerlukan perhatian mendesak malah difahamkan situasi ini juga turut membelenggu beberapa kuarters dan balai polis lain di seluruh negara.

Beliau diiring Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain dan Timbalan Ketua Setiausaha KDN Datuk Abdul Halim Abdul Rahman.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim diiringi Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail meninjau kuarters IPD Marang dalam lawatan kerja ke Terengganu pada Rabu. Foto Facebook Anwar Ibrahim

“Minggu depan sampai RM1 juta. Saya minta KDN dan polis untuk ambil tindakan segera. Saya tidak peduli apa cara sekalipun, yang penting ia mesti cepat diselesaikan supaya kita boleh bawa masuk lagi 20 keluarga untuk tinggal di situ.

“Kita nak suruh polis pertahankan negara dan banteras jenayah, tapi rumahnya rosak … jadi, saya kata kita selesaikan masalah ini bermula tahun lepas dan tahun ini walaupun tidak semuanya,” kata beliau.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bertemu warga Kementerian Dalam Negeri terdiri daripada pegawai dan anggota polis, APMM, RELA dan Jabatan Penjara dalam sesi ramah mesra di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang bersama-sama Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail. Foto Facebook Anwar Ibrahim

“Tatkala negara menuntut anggota keselamatan berkorban masa, tenaga dan nyawa untuk memelihara keamanan negara, perihal kebajikan dan keselesaan mereka terutamanya tempat tinggal tidak harus dipandang enteng mahupun dilupakan.

“Justeru, saya meluluskan segera peruntukan sebanyak RM1 juta untuk kerja-kerja baik pulih kuarters kediaman IPD Marang ini sekaligus komitmen jelas Kerajaan MADANI untuk menjaga kebajikan dan mengangkat martabat anggota keselamatan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim diiringi Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail meninjau kuarters IPD Marang dalam lawatan kerja ke Terengganu pada Rabu. Foto Facebook Anwar Ibrahim

Dalam pada itu beliau mahu setiap warga agensi penguatkuasaan di negara ini memiliki nilai murni dan disiplin yang tinggi dalam menggalas tugas mempertahankan keselamatan negara.

Beliau berkata sekiranya aspek berkenaan berjaya diperkukuh dalam kalangan semua anggota penguat kuasa, matlamat untuk mengangkat martabat negara, bangsa dan umat boleh dicapai dalam tempoh lebih cepat.

“Kita tak kurang orang yang pandai bercakap dari kedai kopi sampai ke Parlimen. Yang kurangnya, orang yang ada semangat disiplin dan nilai yang baik.

”Sebab itu, saya seru bagi semua pihak (supaya) faham agenda perubahan … kalau nak angkat martabat umat, bangsa dan negara tidak boleh dengan kaedah yang lama,” kata beliau ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra bersama warga Kementerian Dalam Negeri (KDN) Terengganu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang di sini hari ini.

Justeru, Anwar menggesa semua warga penguatkuasaan di bawah KDN untuk berubah, baik dari aspek fizikal mahupun spiritual, mengambil kira besarnya tanggungjawab anggota kementerian berkenaan.

Menurut Anwar, bagi kuarters polis lain yang memerlukan kerja pembaikan, KDN akan membawa cadangan mengenai perkara itu, namun ia bergantung pada keupayaan kewangannya.

Beliau bagaimanapun memberi jaminan kes-kes yang terdesak akan diselesaikan segera tahun ini.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *