PM Anwar Lawat Kompleks Imam Hazrati, Tatap Manuskrip Asal Al-Quran

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim disambut oleh Timbalan Mufti 1 Uzbekistan, Sahibus Samahah Hamid Bahrom yang langsung membawa Anwar melihat sendiri naskhah Al-Quran yang dihasilkan atas perintah Khalifah Saidina Uthman bin Affan antara tahun 644 hingga 646 Masihi. Foto Facebook Anwar Ibrahim

TASHKENT, 18 Mei – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memulakan hari kedua di Uzbekistan dengan mengadakan lawatan ke Kompleks Imam Hazrati di sini, Sabtu, yang menyimpan manuskrip asal Al-Quran Khalifah Uthman (Mashaf Uthmani), yang tertua di dunia.

Kompleks Imam Hazrati merupakan pusat keagamaan Tashkent yang menempatkan beberapa masjid yang telah dipulihara dengan baik, muzium madrasah dan tempat-tempat ziarah lain.

Ia adalah monumen seni bina sejak abad ke-16 hingga ke-20. Kompleks ini mempunyai perpustakaan manuskrip timur yang sangat kaya, juga naskah Al-Quran Khalifah Uthman Affan yang terkenal di seluruh dunia.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim disambut oleh Timbalan Mufti 1 Uzbekistan, Sahibus Samahah Hamid Bahrom yang langsung membawa Anwar melihat sendiri naskhah Al-Quran yang dihasilkan atas perintah Khalifah Saidina Uthman bin Affan antara tahun 644 hingga 646 Masihi. Foto Facebook Anwar Ibrahim

Perdana Menteri dalam catatan di Facebooknya berkata ketibaan beliau dan delegasi Malaysia disambut oleh Timbalan Mufti 1 Uzbekistan Hamid Bahrom yang terus membawanya ke sebuah perpustakaan seliaan Lembaga Muslim Uzbekistan di dalam kompleks itu

“Alhamdulillah, berpeluang melihat sendiri naskhah Al-Quran yang dihasilkan atas perintah Khalifah Saidina Uthman bin Affan antara tahun 644 hingga 646. Imam Hamid memaklumkan ini adalah satu-satunya daripada enam Al-Quran yang masih kekal.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim diberi penerangan oleh Timbalan Mufti 1 Uzbekistan, Sahibus Samahah Hamid Bahrom ke sebuah perpustakaan seliaan Lembaga Muslim Uzbekistan di dalam kompleks ini. Foto Facebook Anwar Ibrahim

“Imam Hamid turut maklumkan bahawa inilah juga Al-Quran yang dibaca Saidina Uthman tatkala beliau dibunuh, bahkan masih ada kesan titisan darah Saidina Uthman di halaman surah Al-Baqarah di dalam Al-Quran ini,” katanya.

Anwar berkata beliau dimaklumkan oleh Imam Hamid bahawa Kerajaan Uzbekistan sedang membangunkan Pusat Ketamadunan Islam dan apabila siap, Al-Quran ini bersama kandungan lain dalam perpustakaan itu akan dipindahkan ke sana.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dibawa melawat Kompleks Hazrati Imam, yang juga pusat keagamaan Islam di Tashkent, Uzbekistan. Foto Facebook Anwar Ibrahim

“Saya kagum dengan kesungguhan Kerajaan Uzbekistan dan penduduknya memelihara artifak-artifak sejarah yang begitu penting bagi dunia Islam,” katanya.

Selepas lawatan ke Kompleks Imam Hazrati Perdana Menteri terus ke Lapangan Terbang Antarabangsa Tashkent untuk ke Samarkand dengan diiringi Perdana Menteri Uzbekistan Abdulla Nigmatovich Aripov.

Di Samarkand Perdana Menteri dan delegasi Malaysia melawat makam Imam Bukhari, seorang ahli hadis yang termasyhur.

Anwar dijadualkan menyampaikan ucapan di Forum Perniagaan Uzbekistan-Malaysia Peringkat Tinggi di Silk Road Samarkand Complex.

Anwar tiba sini pada Jumaat bagi lawatan rasmi tiga hari di Uzbekistan.

Antara anggota delegasi Malaysia sewaktu lawatan di Uzbekistan adalah Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hassan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *