PM Anwar, Kabinet Setuju Naik Taraf LTSIP Ke Lapangan Terbang Antarabangsa

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Kabinet telah bersetuju untuk menjadikan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) sebagai lapangan terbang antarabangsa. Foto Bernama

KOTA BHARU, 13 Mei – Kabinet bersetuju landasan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) Pengkalan Chepa dipanjangkan daripada 2,400 meter kepada 2,800 meter sebagai persediaan menjadi ia lapangan terbang antarabangsa.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata persetujuan itu diperoleh selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membawa perkara berkenaan ke mesyuarat Kabinet Rabu lalu.

Katanya, projek berkenaan akan disegerakan dan dimasukkan dalam fasa dua projek naik taraf dan pembesaran LTSIP yang kini sedang berjalan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Kabinet telah bersetuju untuk menjadikan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) sebagai lapangan terbang antarabangsa. Foto Bernama

“Secara prinsip Kabinet sudah meluluskan projek berkenaan dan ia bukan menjadi projek baharu tanpa memerlukan tender baharu, sebaliknya sambungan kepada projek sedia ada.

“Kos tambahan berhubung projek berkenaan akan dibincangkan dengan pihak kontraktor dan Kementerian Pengangkutan juga akan mengadakan mesyuarat dengan Menteri Ekonomi untuk peruntukan tambahan.

“Ini berita baik untuk Kelantan dan proses rundingan dengan kontraktor dari segi teknikal dijangka mengambil masa tiga bulan sebelum projek dilaksanakan,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Mohd Nassuruddin mengadakan perjumpaan tertutup berhubung pembangunan negeri Kelantan di Pejabat Menteri Besar di MABNA MBI, Kompleks Kota Darulnaim pada Khamis. Foto Bernama

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan mesyuarat dengan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud.

Media sebelum ini melaporkan, Anwar bersetuju menaik taraf LTSIP Pengkalan Chepa di sini, menjadikan lapangan terbang antarabangsa.

Perdana Menteri berkata, untuk menjadikan lapangan terbang berkenaan bertaraf antarabangsa, Kerajaan Persekutuan bersetuju untuk menambah panjang landasan sejauh 400 meter lagi.

Mengulas lanjut, Loke berkata, dengan pemanjangan landasan berkenaan akan meningkatkan lagi ekonomi dan industri pelancongan negeri Kelantan.

“Jika landasan itu dipanjangkan, lebih banyak penerbangan antarabangsa boleh dilakukan yang membabitkan tempoh penerbangan lima jam.

“Ini berita baik buat Kelantan dan hari ini saya datang menyatakan perkembangan terkini berhubung pemanjangan landasan berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Mohd Nassuruddin turut berterima kasih kepada Kerajaan Pusat dan Menteri Pengangkutan berhubung berita gembira itu.

Perdana Menteri pada majlis sambutan Aidilfitri di Kelantan baru-baru ini memberi jaminan memenuhi permintaan Kelantan supaya lapangan terbang itu dijadikan lapangan terbang antarabangsa untuk menarik lebih ramai pelancong.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *