PM Anwar Jamin Kouta Bumiputera Kekal Untuk Ke Matrikulasi

PM Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir perhimpunan bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri, di Putrajaya hari ini. Foto Facebook Anwar Ibrahim

PUTRAJAYA, 1 Jul – Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kuota Bumiputera akan terus dipertahankan biarpun kerajaan mengumumkan keputusan memberi jaminan tempat di Martrikulasi kepada calon cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tanpa mengira kaum atau latar belakang di matrikulasi.

Perdana Menteri berkata, sejak pengumuman itu dibuat, keputusan terbabit menjadi bualan dan polemik serta menghangatkan suhu politik.

“Kita ambil jalan yang kita anggap adil dan munasabah, kalau dia (pelajar) itu rakyat dan warga kita, kita harus pelihara tapi kita juga terima kenyataan mengenai meritokrasi, jadi tanpa mengira kaum dan wilayah, dapat 10A kita beri jaminan tempat di matrikulasi.

“Kuota Bumiputera kita tetap dikekalkan kerana ini keputusan sudah lama kerana berkait dengan Perlembagaan, jaminan masa depan Bumiputera Melayu supaya tidak berlaku kesenjangan, jadi penjawat awam harus faham, meritokrasi kita pertahankan, tapi keadilan juga kita pertahankan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Majlis Perhimpunan Bulanan bersama Warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Semalam, kerajaan memberi jaminan semua calon SPM yang memperoleh keputusan cemerlang 10A dan ke atas serta memohon melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi, akan mendapat tempat tanpa mengira kaum atau latar belakang.

Keputusan itu dicapai pada mesyuarat Jemaah Menteri Jumaat lalu.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, pengumuman keputusan kerajaan itu sedikit sebanyak meredakan suhu ketegangan yang terpaksa dihadapi Kementerian Pendidikan (KPM) setiap tahun.

Katanya, ia kerana setiap kali dibicarakan mengenai kuota Bumiputera, ia dijadikan isu yang agak keterlaluan.

“Di satu pihak nak menafikan hak minoriti, di satu pihak pula nak pertikai prinsip Perlembagaan dan jaminan kepada Bumiputera dalam kedudukan lebih rendah kerana kemudahan di desa dan miskin bandar.

“Jadi ketika kita pertahankan prinsip meritokrasi, kita juga pertahankan prinsip keadilan, maknanya sementara meritoktasi dipertahankan, ia tidak seharusnya dijadikan ideologi yang ketat.

“Saya lihat anak orang besar pergi ke sekolah terbaik di dunia, balik menjadi seorang profesional dan intelektual, dia pertahankan golongan elit di atas itu, saudara lihat umpamanya, mereka lebih pintar menulis. Jadi siapa yang akan wakili rakyat yang tersisih, terbiar dan terpinggir ini,” katanya.

Justeru, beliau sekali lagi menegaskan, walaupun keputusan memberikan pengiktirafan kepada kecemerlangan tanpa mengira kaum dan latar belakang, kerajaan pada masa sama tegas mempertahankan kouta Bumiputera.

“Saya percaya perkara ini akan dijelaskan dengan lebih teliti oleh Fadhlina Sidek (Menteri Pendidikan) dan akan cerakinkan secara lebih jelas,” katanya.

Yang turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar, timbalannya Dr. Zulkifli Hassan dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd. Zuki Ali.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *