PM Anwar Ingatkan Pemimpin KEADILAN Jangan Terpukau Dengan Kuasa

Perdana Menteri yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim mengunjungi tapak karnival pada Sambutan 25 Tahun KEADILAN di Sentul Depot, malam ini. Foto Facebook Anaar İbrahim

KUALA LUMPUR, 11 Mei – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengingatkan kepemimpinan KEADILAN supaya tidak lupa kepada dasar perjuangan parti itu yang diwujudkan bagi melakar perubahan, selepas memperoleh kuasa dalam Kerajaan Perpaduan kini.

Anwar yang juga Presiden KEADILAN, berkata pihaknya tidak mahu pemimpin parti ‘terpukau’ dengan kuasa dan amanah yang diperoleh kini.

Beliau berkata, KEADILAN juga tidak akan berganjak daripada prinsip parti bagi mempertahankan hak setiap rakyat di negara ini, walaupun diserang pihak tertentu yang sering memainkan sentimen isu perkauman yang sempit sebelum ini.

Perdana Menteri yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim mengunjungi tapak karnival pada Sambutan 25 Tahun KEADILAN di Sentul Depot, malam ini. Foto Facebook Anaar İbrahim

“Seperti mana selalu saya sebut, kuasa mampu memukau…kuasa itu satu yang bergemerlapan, maka ingat mengenai asas perjuangan. Jangan guna kuasa untuk kumpul harta.

“Jangan guna kuasa untuk hilangkan idealisme bahawa kita pegang amanah untuk melakukan perubahan kerana Malaysia cukup matang untuk sebuah demokrasi yang utuh,” katanya ketika berucap pada Malam Sambutan KEADILAN ke-25, di Sentul Depot, malam ini.

Hadir sama pada acara sambutan itu Timbalan Perdana Menteri yang juga Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Pengangkutan yang juga Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke dan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Perdana Menteri yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan pada Sambutan 25 Tahun KEADILAN di Sentul Depot, malam ini. Foto Facebook Anwar Ibrahim

Pada masa sama, Anwar berkata, walaupun diserang dan hampir tewas di beberapa kawasan sebelum ini, KEADILAN tidak akan berganjak dari prinsip asal parti yang mahu mempertahankan hak setiap rakyat di negara ini.

Beliau berkata, pihaknya memberi jaminan bahawa Islam, Melayu dan Bumiputera tidak akan terhakis walaupun kerajaan mempertahankan hak setiap rakyat yang lain.

“Kita lihat kempen di Kuala Kubu Bharu, isu ini terus dipermainkan. Mana boleh di Malaysia ini majoriti Islam, perwakilan di Parlimen juga majoriti Islam tetapi kita tidak menafikan hak orang Cina, India, Kadazan atau Dusun untuk tetap diwakili.

“KEADILAN tetap akan pertahankan Perlembagaan untuk menjamin negara ini aman dan setiap suku kaum mesti ada perwakilan yang adil.

“Melayu dan Bumiputera tidak miskin kalau kita adil, Melayu dan Bumiputera tidak ketinggalan kalau kita berikan hak dan perwakilan itu. Walau diserang bertubi-tubi kerana sentimen mainan agama yang sempit, kita tidak akan berganjak,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Anwar berkata, negara akan tetap mempertahankan dasar yang bebas dan merdeka.

Beliau berkata, dalam aspek hubungan antarabangsa, negara akan memperkukuhkan kerjasama dengan Barat termasuk Amerika Syarikat (AS) dan Eropah.

Katanya, namun pada masa sama, hubungan dengan China, Jepun dan Korea juga perlu harus dipertingkatkan.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *