PM Anwar Hargai Peranan Pakistan Usahakan Rundingan Damai AS-Iran

IMG_7019

Perbualan telefon antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif pada 1 Oktober 2026. Foto PMO

KUALA LUMPUR, 1 Okt – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan penghargaan atas peranan Pakistan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Shehbaz Sharif dalam mengusahakan rundingan damai antara Amerika Syarikat dan Iran.

Dalam satu hantaran di media sosial hari ini, Anwar turut menyampaikan harapan agar kunjungan Ketua Tentera Pakistan, Field Marshal, Asim Munir ke Malaysia dapat direalisasikan setelah beberapa kali tertangguh.

“Saya merakamkan penghargaan atas peranan Pakistan dalam mengusahakan rundingan damai antara Amerika Syarikat dan Iran, serta menegaskan bahawa ruang dialog dan diplomasi mesti terus diperkukuh bagi meredakan ketegangan dan membuka jalan kepada keamanan yang berkekalan.

“Saya mengalu-alukan kedatangan beliau pada bila-bila masa yang bersesuaian tanpa perlu terikat dengan aturan protokol rasmi,” katanya.

Anwar berkata demikian selepas mengadakan perbualan telefon dengan sahabatnya itu, hari ini bagi bertukar pandangan mengenai perkembangan serantau serta hubungan Malaysia dan Pakistan.

Katanya, beliau juga menghargai ingatan dan ucapan takziah Shehbaz atas pemergian abangnya, Almarhum Idrus Ibrahim, yang memberi makna besar buat mereka sekeluarga dalam saat kehilangan ini.

“Beliau juga menitipkan salam takziah kepada Tun Dr Mahathir Mohamad atas pemergian Almarhumah Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali,” katanya.

Katanya, mereka turut membincangkan urusan eksport daging yang akan terus disusuli oleh pasukan kedua-dua negara bagi membuka ruang kerjasama yang lebih luas.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *