PM Anwar Gembira Hasil Persidangan APEC 2023 Di Amerika Syarikat

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata APEC harus kekal sebagai platform bagi semua negara berkumpul untuk membangunkan strategi yang merangsang kemajuan ekonomi. Foto Bernama
SAN FRANCISCO, 19 Nov – Perdana Menteri Anwar Ibrahim melahirkan rasa gembira dengan hasil lawatan beliau di Persidangan APEC 2023 di Amerika Syarikat (AS) yang berjaya meraih pelaburan sebanyak RM63.02 bilion dan pada masa yang sama menyuarakan pendirian Putrajaya berhubung isu di Gaza.
Anwar berkata mesej beliau di setiap platform semasa persidangan yang berlangsung di San Francisco itu adalah mudah dan jelas – pembunuhan dan kekejaman di Gaza perlu dihentikan dan tidak ada pilihan lain lagi, lapor Bernama.
Selain Malaysia, daripada 21 ekonomi yang menyertai APEC 2023, Brunei dan Indonesia turut menyentuh isu konflik di Timur Tengah itu.
“Secara keseluruhannya, saya gembira kerana ia (pendirian tiga ekonomi berkenaan) pendirian yang penting. Kami bukan pejuang atau ingin berseteru, tetapi kami mengambil pendirian sebagai sahabat.
“Saya tidak menggunakan forum ini untuk mengutuk, tetapi lebih kepada merayu, untuk menghentikan kekejaman yang berlaku di Gaza,” katanya.

Mengenai perdagangan dan pelaburan, Anwar yang juga menteri kewangan berpendapat Apec harus kekal sebagai platform bagi semua negara berkumpul untuk membangunkan strategi yang merangsang kemajuan ekonomi sambil mengekalkan standard tertinggi kerjasama dan saling menghormati.
Beliau berkata kelompok yang berada di bawah kategori ekonomi baru muncul seperti Malaysia, mendapat manfaat yang besar daripada kerjasama sedemikian dalam kedua-dua aspek perdagangan dan pelaburan.
PM Anwar Bangga Brunei, Indonesia, Malaysia Sepakat Dalam Isu Gaza Pada APEC 2023
“Pada pelbagai peringkat pertumbuhan dan pembangunan, ekonomi-ekonomi ini kini cuba berkembang maju mengatasi kesukaran semasa krisis kesihatan global, yang bermakna perlu ada lebih banyak kerjasama sekarang berbanding sebelum ini,” katanya.
“Tidak syak lagi bahawa persaingan antara AS-China yang berterusan akan menjadi realiti struktur hal ehwal dunia, tetapi ekonomi sedang pesat membangun tidak harus didesak untuk memihak.
“Negara seperti Malaysia dan Asean tidak boleh dipaksa untuk melihat dunia dan kuasa besar dalam pemikiran Perang Dingin,” katanya semasa sesi soal jawab pada Sidang Kemuncak Ketua Pegawai Eksekutif APEC bertajuk “The Global Economy and State of The World”.
Beliau berkata bagi Putrajaya, Washington telah menjadi sekutu tradisional dan pelabur utama di Malaysia, tetapi terdapat peralihan dengan peningkatan perdagangan dan pelaburan dari China.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web