PM Anwar Diberi Penghormatan Tanam Pokok Cemara Biru Simbolik Hubungan Baharu Malaysia-Uzbekistan

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim diberi penghormatan menanam sepohon pokok cemara biru bersama-sama Presiden Uzbekistan, Shavkat Mirziyoyev yang ditanam di perkarangan Istana Presiden, Kuksaroy di Tashkent pada Jumaat. Foto Facebook Anwar Ibrahim

TASKHENT, 18 Mei – Lawatan hari pertama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim diserikan lagi dengan upacara menanam sepohon pokok cemara biru sebagai simbolik permulaan era baharu hubungan Malaysia-Uzbekistan yang terjalin sejak lebih 30 tahun lalu.

Anwar diberi penghormatan menanam pokok tersebut bersama-sama Presiden Shavkat Mirziyoyev di perkarangan Istana Presiden, Kuksaroy di sini selepas kedua-dua pemimpin mengadakan sidang media bersama pada Jumaat.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama-sama Presiden Uzbekistan, Shavkat Mirziyoyev menyiram pokok cemara biru yang ditanam di perkarangan Istana Presiden, Kuksaroy di Tashkent pada Jumaat. Foto Facebook Anwar Ibrahim

Shavkat mengiringi Anwar ke tapak penanaman pokok itu dengan berjalan kaki sambil berbual santai berkenaan hasil pertemuan serta Kenyataan Bersama yang dikeluarkan pada sidang media dihadiri delegasi kedua-dua negara.

Mereka kemudian bergambar bersama bersebelahan pokok itu dan tanda peringatan tertera nama Anwar serta tarikh ia ditanam turut disempurnakan sebagai pelengkap acara.

Ia merupakan penghormatan tertinggi yang jarang diberikan Kerajaan Uzbekistan kepada pemimpin asing yang mengadakan lawatan rasmi ke negara itu.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim diberi penghormatan menanam sepohon pokok cemara biru bersama-sama Presiden Uzbekistan, Shavkat Mirziyoyev yang ditanam di perkarangan Istana Presiden, Kuksaroy di Tashkent pada Jumaat. Foto Facebook Anwar Ibrahim

“Usai sidang media bersama, saya dan Presiden Shavkat bersama-sama menanam sebatang pohon cemara biru di Istana Presiden Kuksaroy.

“Ia adalah simbolik kepada permulaan era baharu dalam hubungan diplomatik dan kerjasama Malaysia-Uzbekistan yang telah terjalin sejak lebih 30 tahun lalu,” ujar Anwar di Facebook.

Jadual lawatan pada sebelah malam pula dimulakan dengan Anwar dan delegasi Malaysia dibawa ke majlis resepsi makan malam rasmi yang dihoskan Presiden Shavkat dan Kerajaan Uzbekistan juga di Istana Presiden, Kuksaroy.

Papan tanda tertera nama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Bahasa Inggeris dan Uzbek selepas beliau dan Presiden Uzbekistan Shavkat Mirziyoyev menanam pokok cemara biru di perkarangan Istana Presiden, Kuksaroy di sini pada Jumaat. Foto Facebook Anwar Ibrahim

“Kami dipertontonkan dengan persembahan nyanyian dan kebudayaan oleh orkestra serta biduan dan biduanita agung Uzbekistan.

“Saya dan Presiden Shavkat antaranya terpesona dengan kemerduan suara biduanita Yasmina Omar-Mun yang begitu hebat melantunkan lagu ‘Sampai Bila’ dengan fasih,” kata beliau.

Untuk rekod, pada 2023, jumlah perdagangan antara Malaysia dan Uzbekistan adalah RM451.1 juta (US$94.03 juta) dengan eksport ke Uzbekistan berjumlah RM449 juta (US$93.6 juta) dan import berjumlah RM1.99 juta (US$414,518).

Uzbekistan adalah persinggahan terakhir lawatan rasmi Anwar ke tiga buah negara Asia Tengah dan hari ini beliau berada di Samarkand bagi meneruskan lawatan kerja hari kedua di republik itu.

Sebelum ini beliau melawat Republik Kyrgyz dan Kazakhstan dari Selasa hingga Khamis lalu selepas menghadiri Forum Ekonomi Qatar (QEF) di Doha pada Jumaat minggu lalu.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *