PM Anwar Arah Siasatan Segera, Telus Kematian Pelajar Sekolah Di Yong Peng
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa dukacita atas pemergian pelajar berkenaan serta mengucapkan takziah kepada keluarga dan waris Allahyarham pada 4 Oktober 2026. Foto Facebook Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR, 4 Okt – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan pihak berkuasa menjalankan siasatan segera, menyeluruh dan telus bagi mengenal pasti punca serta perkara sebenar berhubung kematian pelajar perempuan berusia 16 tahun di sebuah sekolah di Yong Peng, Johor.
Arahan tersebut dikeluarkan Anwar menerusi hantaran di media sosial seraya berkata, sekiranya terdapat unsur jenayah dalam kejadian itu, tindakan tegas hendaklah diambil mengikut undang-undang.
“Saya telah meminta pihak berkuasa menjalankan siasatan segera, menyeluruh dan telus bagi mengenal pasti punca serta apa yang sebenarnya berlaku.
“Jika terdapat unsur jenayah, tindakan tegas hendaklah diambil mengikut undang-undang,” tegas Anwar.
Sebaik menerima berita sedih itu, Anwar turut menzahirkan rasa dukacita atas pemergian pelajar cemerlang dalam akademik itu serta mengucapkan takziah kepada keluarga dan waris Allahyarham.

“Saya amat berdukacita menerima berita pemergian seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun yang ditemui meninggal dunia di sebuah sekolah di Yong Peng, Johor.
“Takziah kepada keluarga dan waris Allahyarhamah, moga mereka diberikan kekuatan dan ketabahan menghadapi ujian yang amat berat ini,” katanya.

Anwar berkata, keselamatan anak-anak adalah tanggungjawab bersama dan kerajaan tidak akan berkompromi dalam memastikan keselamatan serta kesejahteraan mereka sentiasa terpelihara.
“Keselamatan anak-anak kita adalah tanggungjawab bersama. Kerajaan tidak akan berkompromi dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan mereka sentiasa terpelihara,” katanya.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
