PM Anwar Akan Bertemu 30 Pemimpin Industri, Ketua Negara Di Qatar

Pesawat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Doha pada kira-kira 9.37 malam Ahad waktu tempatan (2.37 pagi Isnin waktu Malaysia). Foto Facebook Anwar Ibrahim

DOHA, 13 Mei – Misi Malaysia untuk menarik pelaburan baharu dari Asia Barat diteruskan lagi dengan lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Qatar selama tiga hari bermula 12 hingga 14 Mei.

Jadual padat menanti Perdana Menteri hari ini bermula dengan majlis sambutan rasmi negara pada pukul 10.30 pagi waktu tempatan (3.30 petang waktu Malaysia) oleh kerajaan Qatar di Amiri Diwan, di sini.

Anwar akan disambut oleh Emir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani, yang kemudiannya disusuli dengan majlis jamuan makan tengah hari bagi Perdana Menteri.

Pesawat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Doha pada kira-kira 9.37 malam Ahad waktu tempatan (2.37 pagi Isnin waktu Malaysia). Foto Facebook Anwar Ibrahim

Acara utama seterusnya adalah pertemuan dua ketua negara, apabila Anwar dijadual bertemu dengan rakan sejawatan beliau, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani, yang juga merupakan Menteri Luar Qatar.

Antara isu yang dijangka dibincangkan adalah mengenai perkembangan terkini situasi di Palestin terutamanya dengan pencerobohan terbaharu tentera rejim zionis di Rafah.

Pada sebelah petangnya, Perdana Menteri yang juga merupakan menteri kewangan akan berkongsi potensi dan peluang pelaburan serta kemajuan terkini ekonomi Malaysia kepada kira-kira 30 pemimpin industri Qatar.

Ketibaan Anwar dan delegasi disambut oleh Timbalan Menteri Luar Negeri Qatar Sultan bin Saad Al Muraikhi bersama-sama Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Mohamad Hasan serta Duta Besar Malaysia ke Qatar Zamshari Shaharan. Foto Facebook Anwar Ibrahim

Anwar menerusi hantaran di laman sosial X juga berkata beliau akan menghadiri Forum Ekonomi Qatar serta merasmikan kampus cawangan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Doha.

Dengan pendapatan daripada petroleum dan gas asli menyumbang lebih 70 peratus daripada jumlah hasil kerajaan Qatar, Malaysia menyasar meneroka peluang baharu dalam bentuk kerjasama lain untuk merebut sebahagian daripada potensi besar ini.

Tahun lepas, perdagangan dua hala Malaysia dengan Qatar berjumlah RM4.2 bilion, dengan negara Teluk itu menjadi rakan dagang kelima terbesar Malaysia, destinasi eksport keenam terbesar dan sumber import keenam terbesar dari rantau Asia Barat.

Bagi tempoh Januari hingga Mac 2024, jumlah perdagangan Malaysia dengan Qatar meningkat sebanyak 178.4 peratus kepada RM1.43 bilion (US$303.9 juta) berbanding RM514.9 juta (US$116.7 juta) pada tempoh yang sama pada 2023.

Secara kebetulan, tahun ini merupakan ulang tahun ke-50 hubungan dua hala Malaysia dan Qatar, yang bermula sejak 1974.

Selepas mesyuarat meja bulat dengan pemimpin industri, Anwar dijadual menyampaikan syarahan umum selama sejam bagi Universiti Hamad Bin Khalifa di Perpustakaan Negara Qatar.

PM Anwar Tiba Di Doha Untuk Lawatan Rasmi Tiga Hari Ke Qatar

Perdana Menteri kemudiannya akan mengakhiri lawatan beliau hari ini dengan bertemu kira-kira 500 diaspora Malaysia di Qatar.

Pada masa ini, terdapat kira-kira 5,500 rakyat Malaysia yang bekerja di Qatar.

Delegasi Malaysia ke Qatar turut disertai Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir. – BERNAMA


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *