PL: ‘Pengurus Kadangkala Perlu Dipecat’ – Neville Sindir Carrick

Gary Neville percaya pengurus kadangkala perlu dipecat demi kebaikan mereka sendiri ketika masa depan Michael Carrick tidak menentu di Old Trafford.
LONDON, 29 Okt – Bekas kapten Manchester United, Gary Neville percaya pengurus kadangkala perlu dipecat demi kebaikan mereka sendiri ketika masa depan Michael Carrick terus menjadi tanda tanya susulan prestasi buruk The Red Devils musim ini.
Carrick kini berdepan tekanan hebat selepas United gagal mencatat kemenangan dalam lapan perlawanan terakhir, termasuk kekalahan memalukan 3-0 kepada Bournemouth di laman sendiri, Ahad lalu.
Keputusan itu menyaksikan gergasi England berkenaan hanya satu mata di atas zon penyingkiran Liga Perdana Inggeris (PL), selepas mengutip tujuh mata daripada lapan perlawanan liga, permulaan terburuk mereka dalam tempoh 40 tahun.

United hanya menang dua daripada 12 perlawanan dalam semua pertandingan musim ini, namun Carrick masih diberi kepercayaan mengendalikan pasukan dan dijangka mengadakan sidang media menjelang pertemuan menentang Chelsea, Sabtu ini.
Neville berkata, pengurusan tertinggi United mungkin sudah membincangkan kedudukan Carrick selepas kekalahan kepada Bournemouth, tetapi akhirnya gagal membuat keputusan tegas.
“Saya rasa apa yang berlaku dalam tempoh 24 jam selepas perlawanan menentang Bournemouth ialah mereka (pengurusan United) benar-benar berdebat mengenai masa depan Carrick.
“Saya tidak tahu perkara ini secara pasti, tetapi mereka mungkin berbincang sehingga akhirnya menjadi keliru dan memilih untuk terus mengekalkannya.

“Saya fikir keputusan untuk mengekalkannya berpunca daripada kekurangan perancangan, pilihan pengganti yang terhad dan kegagalan membuat keputusan,” kata Neville menerusi podcast Stick to Football.
Bekas rakan sepasukan Carrick itu turut menegaskan pemecatan kadangkala boleh menjadi jalan terbaik untuk seseorang pengurus, berdasarkan pengalamannya sendiri ketika mengendalikan Valencia.
“Kadangkala seorang pengurus perlu dipecat demi kebaikan dirinya sendiri. Saya sendiri perlu dipecat ketika di Valencia dan berasa lega apabila mereka menamatkan penderitaan saya,” katanya.
Eddie Howe, yang sebelum ini mengendalikan Newcastle United, dan bekas jurulatih Jerman, Julian Nagelsmann, antara nama yang dikaitkan sebagai calon pengganti Carrick di Old Trafford.

Bagaimanapun, Carrick masih menerima sokongan sebahagian penyokong United apabila diberikan tepukan ketika berjalan menuju ke terowong selepas kekalahan kepada Bournemouth. Sebaliknya, pemain pasukan itu menerima sorakan boo daripada penyokong yang jelas kecewa dengan prestasi semasa.
Carrick diberikan kontrak dua tahun pada Mei lalu selepas berjaya menghidupkan semula prestasi United yang bergelut di bawah kendalian Ruben Amorim. United menamatkan saingan liga di tangga ketiga dan kembali ke Liga Juara-Juara.
Namun, kemerosotan mendadak musim ini menghidupkan semula kekecewaan penyokong yang kali terakhir menyaksikan United menjuarai PL 13 tahun lalu ketika era Alex Ferguson.
Neville turut menyasarkan kritikan terhadap keluarga Glazer yang menjadi pemilik majoriti kelab itu, sambil mendesak mereka menjual keseluruhan pegangan.
Keluarga dari Amerika Syarikat itu mengambil alih United menerusi pengambilalihan kontroversi pada tahun 2005 sebelum menjual sebahagian kecil pegangan kepada jutawan Britain, Jim Ratcliffe, pada tahun 2024.
Neville mendakwa beban hutang dan kegagalan pengurusan bola sepak sepanjang lebih sedekad menjadi antara punca masalah yang terus membelenggu kelab itu.
“Terdapat hutang sebanyak 1.2 bilion pound (RM6.5 bilion) dalam kelab itu dan keadaan berkenaan membataskan mereka dalam beberapa aspek.
“Kegagalan dalam aspek bola sepak selama 13 hingga 14 tahun, kemudian menyerahkan pengurusan kepada pihak lain tanpa mengambil tanggungjawab sendiri, memang tidak masuk akal.

“Cukuplah. Mereka perlu menjual keseluruhan kelab itu. Penyokong sudah muak dan mereka perlu pergi sekarang,” tambahnya.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

