PL: Kemenangan Spurs Cetus Persoalan Kemampuan Chelsea

Barisan pemain Chelsea seakan tidak percaya tewas 0-2 ke atas Spurs di Stamford Bridge pada 24 Oktober 2026. Foto Getty Images
LONDON, 25 Okt – Kemenangan Tottenham Hotspur ke atas seteru bandar, Chelsea dalam Liga Perdana Inggeris (PL) di Stamford Bridge, bukan sahaja mencalarkan reputasi The Blues, malah menimbulkan persoalan tentang kekuatan sebenar mencabar kejuaraan musim ini.
Kekalahan itu menyaksikan Chelsea tewas kepada Tottenham dalam saingan PL buat kali pertama sejak April 2018, sekali gus menamatkan rekod positif mereka ketika berdepan seteru London berkenaan.
Gol sendiri penjaga gol, Mike Penders sebelum Mathys Tel meledak jaringan kedua menerusi aksi individu menarik memastikan Tottenham membawa pulang tiga mata, dalam perlawanan yang turut menyaksikan Chelsea terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Cole Palmer dilayangkan kad merah.

Alonso mengakui Chelsea gagal mempamerkan intensiti permainan yang diharapkan, terutama pada babak pertama apabila mereka tidak cukup agresif ketika melakukan tekanan tinggi dan memenangi perebutan bola.
“Saya mahukan intensiti lebih tinggi pada babak pertama. Kami mahu melakukan tekanan tinggi tetapi tidak cukup kuat dalam perebutan bola,” kata Alonso.
Menurutnya, Chelsea menunjukkan sedikit peningkatan selepas rehat dan berpeluang membuka jaringan menerusi Pedro Neto, namun gol pertama Tottenham mengubah keadaan sebelum kad merah Palmer menambah kesukaran buat tuan rumah.
“Kami sudah bercakap mengenai betapa pentingnya gol pertama. Apabila mereka menjaringkan gol, saya merasakan itu bukan apa yang kami mahukan.
“Hampir sejurus selepas itu, kad merah pula dilayangkan. Saya kecewa dengan keputusan perlawanan dan kami perlu jujur menilai prestasi sendiri kerana kami sebenarnya boleh bermain dengan lebih baik,” katanya.
Chelsea turut bergelut menghasilkan peluang apabila hanya melakukan tujuh percubaan sepanjang perlawanan, jumlah terendah mereka dalam aksi liga musim ini serta paling sedikit di laman sendiri sejak berdepan Brentford pada Januari lalu.
Alonso bagaimanapun menegaskan beliau tidak mahu menjadikan masalah kecederaan pemain sebagai alasan, sebaliknya percaya skuad sedia ada masih mempunyai kemampuan untuk memberikan persembahan lebih baik.
“Memang mudah untuk bercakap mengenai pemain yang tiada, tetapi dengan skuad yang kami ada, kami percaya pasukan ini mampu melakukan lebih baik.
“Kami perlu mengkritik diri sendiri dan bertanggungjawab,” tambahnya.
Dalam pada itu, Penders berdepan detik sukar apabila menjadi penjaga gol kedua Chelsea menjaringkan gol sendiri dalam perlawanan PL selepas Petr Cech melakukannya ketika menentang Everton pada Disember 2009.
Penjaga gol berusia 21 tahun itu turut menjadi penjaga gol kedua termuda menjaringkan gol sendiri dalam sejarah PL, selepas Illan Meslier yang melakukannya bersama Leeds United ketika menentang Wolverhampton Wanderers pada Februari 2021.
Alonso tetap mempertahankan Penders dan menegaskan kesilapan itu perlu diterima sebagai sebahagian daripada bola sepak.
“Inilah bola sepak. Ia mengenai melakukan perkara hebat dan mengharungi detik sukar. Kami akan terus memberikan sokongan kepada Mike dan menghadapinya bersama-sama,” katanya.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web



