PL: Carrick Cuba Tepis Aksi ‘Kurang Semangat’ Tewas Minggu Lalu

Kesebelasan United diuji sama ada mampu memulihkan kekalahan di tangan Hull City minggu lalu apabila berdepan Ipswich jam 11.30 malam ini. Foto Manchester United
LONDON, 30 Ogos – Setelah menerima pengajaran paling bermakna ketika tewas mudah di tangan Hull City minggu lalu, Michael Carrick nampaknya menunjukkan ketegasan buat kali pertama sejak dilantik secara tetap sebagai pengendali Manchester United apabila ditanya penyiar Viaplay mengenai dakwaan pasukannya kurang “semangat” ketika menentang pendatang baharu Liga Perdana Inggeris (PL) itu.
Melayan satu lagi kelab yang mampu menggugat musim ini, Ipswich Town di Old Trafford malam ini membuatkan pengendali yang menghuni tangga ke-16 liga berdepan tugas berat memastikan persembahan membuahkan kemenangan.
“Oh, ayuh, itu tidak masuk akal! Anda pernah bermain bola sepak. Anda faham. Itu perkara yang tidak masuk akal untuk dikatakan. Hanya kerana anda tewas tidak bermakna anda tidak mengambil berat mengenainya,” tegasnya.
United bukan kurang usaha ketika menentang Hull, sebaliknya mereka kurang kualiti dan Carrick tersilap dari sudut taktikal, sekali gus membantu Hull yang baru dinaikkan pangkat meraih kemenangan pertama mereka dalam sejarah liga.
Untuk rekod, Ipswich tewas 2-3 di Old Trafford musim lalu tetapi kesudahan malam ini akan menyaksikan adakah kebangkitan Red Devils mampu dijelmakan bagi mencabar kedudukan teratas liga yang dikuasai seteru setempat, Manchester City.
Dengan Liverpool seri dua kali termasuk ketika menentang Nottingham Forest malam tadi, inilah masanya buat United mencatat kemenangan pertama musim ini dan memulihkan keyakinan peminat yang goyah minggu lalu.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web


