PGA Cekup Dua Lelaki Disyaki Cuba Seleweng 20,000 Liter Diesel Bersubsidi

Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan lori membawa muatan 20,000 liter minyak diesel tanpa permit yang sah.

BELURAN, 11 Jul – Dua lelaki warga tempatan ditahan selepas didapati membawa kira-kira 20,000 liter minyak diesel bersubsidi di Road Check Point (RCP) Kilometer 4 Jalan Sapi Nangoh, di sini, semalam.

Kedua-dua suspek terbabit ditahan oleh pasukan Batalion 20 Pasukan Gerakan Am (PGA) Beluran menerusi Op Taring.

Ketua Polis Daerah Beluran, Superintendan Hasan Majid berkata, pihaknya menahan sebuah lori dalam keadaan mencurigakan di kawasan berkenaan.

“Hasil siasatan awal, kedua-dua suspek terbabit gagal menunjukkan permit Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan resit pembelian minyak diesel berkenaan.

“Semua suspek terbabit terus ditahan, manakala lori serta muatannya dirampas untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.

Katanya, suspek dan barang rampasan kemudian diserahkan kepada pegawai penguat kuasa KPDN untuk tindakan selanjutnya.

“Kes berkenaan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961,” katanya.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *