Perluasan Kempen Internet Selamat Di Perak Tangani Ancaman Suara Palsu Janaan AI

Perluasan Kempen Internet Selamat Di Perak Tangani Ancaman Suara Palsu Janaan AI

Semua pihak digesa berganding bahu memperluas agenda Kempen Internet Selamat (KIS) lantaran Perak merekodkan sebanyak 4,848 kes penipuan dalam talian tahun lepas dengan kerugian melebihi RM124 juta.

IPOH, 29 Sep – Pelaksanaan Kempen Internet Selamat (KIS) di Perak yang akan diperluas meliputi pendedahan modus operandi penipuan berasaskan kecerdasan buatan (AI), khususnya ancaman suara palsu di alam siber, merupakan langkah tepat pada masanya bagi mengurangkan kes jenayah dalam talian di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO Perak, Mohd Azlan Helmi, menjelaskan bahawa modul penerangan berkaitan penipuan AI telah pun disediakan di peringkat Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di Perak dan akan dibawa ke setiap siri penganjuran kempen, terutama bagi mendidik warga emas yang menjadi golongan berisiko.

Langkah pendidikan serta pemahaman tentang penggunaan internet secara bertanggungjawab mampu mengelak rakyat terjebak dalam kes penipuan dalam talian di seluruh negeri Perak sepanjang tahun ini.

Keperluan ini amat mendesak lantaran Perak merekodkan sebanyak 4,848 kes penipuan dalam talian tahun lepas dengan kerugian melebihi RM124 juta, dengan penipuan berasaskan AI disenaraikan antara modus operandi yang semakin canggih dan sukar dikesan.

Di peringkat nasional pula, laporan awal 2026 menyebut kerugian akibat penipuan mencecah RM2.9 bilion setakat April, dengan Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil menyifatkan penipuan berkuasa AI sebagai ancaman nasional.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil merasmikan Konvensyen PIBG Internet Selamat 2026 di Pusat Konvensyen Imbi, Kuala Lumpur pada 8 Ogos 2026. Foto Bernama

Semua pihak diseru berganding bahu bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) dalam membendung kes-kes penipuan dalam talian yang kini merekodkan lebih 66,000 kes penipuan dalam talian membabitkan kerugian RM2.97 bilion sepanjang tahun lepas, menurut statsitik Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF).

Teknologi pengklonan suara membolehkan penjenayah meniru suara seseorang hanya berdasarkan rakaman sedia ada di media sosial, lalu menyamar sebagai ahli keluarga yang kononnya memerlukan wang segera. Golongan warga emas, yang kurang terdedah kepada teknologi ini, paling mudah terpedaya.

Seawal peringkat sekolah rendah lagi, para pelajar didedahkan dengan ancaman penipuan dalam talian menerusi Kempen Internet Selamat di seluruh Perak dari semasa ke semasa.

Justeru, modul KIS wajar menekankan beberapa langkah asas: mengesahkan permintaan wang dengan menghubungi semula individu terbabit melalui nombor sedia ada, menetapkan “kata laluan keluarga” bagi situasi kecemasan, serta mengelak memuat naik (upload) rakaman suara secara terbuka.

Perluasan kempen ke peringkat kampung, mukim dan daerah pada 2026, selepas menjangkau 906 sekolah tahun lalu, menunjukkan pendekatan menyeluruh yang wajar diteruskan sehingga kadar jenayah berkaitan mula menurun dan mampu ditangani segera.

Gerakan kesedaran yang lebih mendalam, pendidikan berterusan dan kerjasama semua pihak diharap membantu rakyat di negeri ini menjadi benteng pertama menentang sindiket penipuan digital.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web