Peras Ugut Wanita, Penganggur Dipenjara Empat Bulan
Imej tangkap layar tertuduh didakwa melakukan pemerasan sehingga mendatangkan ketakutan terhadap seorang wanita berusia 36 tahun dengan meminta RM200 untuk mendapatkan semula telefon bimbitnya.
MELAKA, 7 Sep – Seorang penganggur dipenjara empat bulan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini hari ini, atas pertuduhan melakukan peras ugut, awal bulan ini.
Muhhamad Nazirul Jasmi, 33, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Uthman Abd Ghani.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan pemerasan sehingga mendatangkan ketakutan terhadap seorang wanita berusia 36 tahun dengan meminta RM200 untuk mendapatkan semula telefon bimbitnya di tepi Sungai Melaka, Kampung Morten di sini, kira-kira 7.15 malam, 1 September lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Syauqi Mardia Baharudin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Pada 3 September lepas, media melaporkan polis menahan seorang lelaki tempatan dipercayai terlibat dalam kejadian seluk saku di Kampung Morten yang tular di media sosial Threads.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Halim Abas berkata berdasarkan rakaman video tular, seorang lelaki dipercayai mengambil telefon bimbit milik seorang wanita secara pickpocket sebelum berpura-pura membantu mencari telefon berkenaan.
Beliau berkata selepas telefon tersebut ditemukan, lelaki berkenaan dipercayai meminta wang RM200 sebagai “duit kopi” sebelum meninggalkan lokasi. Bernama
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

