Penyasaran Subsidi Diesel: Kerajaan Dijangka Kutip Balik RM8 Bilion

Bermula 10 Jun, harga diesel tanpa subsidi akan dijual pada kadar RM3.35 seliter oleh semua stesen minyak runcit di seluruh Semenanjung. Foto Arkib

KUALA LUMPUR, 11 Jun – Kerajaan mendapat penjimatan sehingga RM8 bilion hasil penyasaran subsidi diesel yang dilaksanakan mulai semalam, sekali gus membolehkan kos itu dipulangkan semula untuk manfaat rakyat khususnya dalam bentuk bantuan tunai.

Ahli ekonomi dari Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK), Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai, berkata pihaknya yakin hasil penjimatan subsidi diesel itu akan boleh dirasai rakyat dalam tempoh sekurang-kurangnya setahun lagi.

Beliau berkata, penjualan harga sebenar diesel tanpa subsidi pada kadar RM3.35 seliter adalah memadai dan masih murah berbanding beberapa negara Asia Tenggara lain termasuk Thailand, Indonesia dan Singapura.

“Penyasaran subsidi ini sudah dirancang sejak Bajet 2024 namun kerajaan perlu berhati-hati dan mungkin mendulukan diesel kerana ia lebih mudah untuk diurus.

“Sebelum ini, penjimatan dianggarkan kerajaan adalah sebanyak RM4 billion namun saya yakin kutipan sehingga RM8 boleh dibuat jika isu membabitkan aktiviti penyelewengan, penyeludupan, penjualan secara haram dapat diselesaikan melalui penyasaran subsidi ini.

“Jika jumlah itu boleh diperoleh, mungkin bantuan BUDI MADANI ditingkatkan selain akses pendidikan dan kesihatan ditambahbaik…saya yakin dalam tempoh setahun akan nampak hasilnya,” katanya kepada BH, semalam.

Bermula semalam, harga diesel tanpa subsidi akan dijual pada kadar RM3.35 seliter oleh semua stesen minyak runcit di seluruh Semenanjung.

Kelmarin, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata, penjimatan yang dianggarkan sebanyak RM4 billion daripada penyasaran subsidi diesel dijangka memberi ruang fiskal yang lebih luas kepada kerajaan dalam usaha mempertingkatkan lagi kualiti pelbagai perkhidmatan yang menjadi kepentingan kepada rakyat.

Pada masa sama, Barjoyai berkata, jika berlaku sebarang tekanan akibat penjualan harga sebenar diesel tanpa subsidi itu, ia boleh ditampung melalui pemberian BUDI MADANI berjumlah RM200.

Beliau berkata, bantuan RM200 itu boleh menampung bayaran diesel bagi perjalanan kira-kira 70 kilometer (km) dengan kadar lima liter sehari.

“Kita percaya kalau hasil penjimatan ini berjaya dipungut kerajaan, mungkin bantuan BUDI MADANI boleh ditingkatkan pada masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, Dekan Othman Yeop Abdullah Graduate School of Business, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Hassan Abu Bakar, berkata kerajaan berada di landasan tepat dengan ‘melepaskan’ subsidi diesel kerana jumlah yang besar itu mampu digunakan untuk perkara lebih penting seperti menggajikan lebih ramai doktor dan guru.

Beliau berkata, kerajaan sudah terpaksa banyak ‘berkorban’ peruntukan hanya untuk menanggung subsidi yang menelan belanja RM86 bilion tahun lalu.

“Negara perlu mempunyai suatu pendidikan ekonomi komprehensif di peringkat sekolah supaya tidak risau akan penarikan subsidi ini.

“Pada masa sama pengguna pula perlu prihatin dengan kenaikan harga barang disebabkan harga baharu diesel ini dengan mencari barang pengganti,” katanya.

Pada masa sama, Hassan yang juga Ketua Kluster Ekonomi Majlis Profesor Negara (MPN) berkata, penarikan subsidi termasuk diesel sebenarnya mampu memberi impak positif kepada perniagaan.

Beliau berkata, tanpa pemberian subsidi diesel ini, syarikat besar khususnya berkaitan kerajaan (GLC) berupaya meningkatkan daya saing pada jangka masa panjang.

“Sebab ia mudah, subsidi mengganggu pasaran, ini secara tidak langsung akan membawa perniagaan kepada tidak kecekapan dan syarikat tidak akan mempunyai daya saing.

“Jadi pasaran akan tentukan harga ini berdasarkan permintaan dan penawaran pasaran, maka pasaran akan buat penyelarasan sendiri tanpa campur tangan kerajaan melalui subsidi.

“Bagi saya yang penting terutama perniagaan perlu mencari kaedah untuk mereka mencapai kecekapan dalam urusan perniagaan mereka,” katanya.

  • Oleh Suzalina Halid


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *