Penyasaran Subsidi Demi Selamatkan Negara – PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri bagi bulan Jun 2024 di Putrajaya. Foto Facebook Anwar Ibrahim

PUTRAJAYA, 10 Jun – Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan langkah kerajaan melaksanakan penyasaran subsidi adalah untuk menyelamatkan negara.

Perdana Menteri berkata, beliau sedar langkah itu akan ‘dihentam’ habis-habisan, namun perlu dilaksanakan kerana tidak ada pilihan lain.

“Kita terpaksa ambil beberapa tindakan tidak popular untuk selamatkan negara. Siapa mahu penyasaran subsidi ini?. Kena tahu apa pun kita lakukan, kita akan dihentam habis-habisan dengan segala fitnah dan penipuan.

“Saya lihat (yang) pakai songkok, serban, jubah, tetapi tipu terus menerus, padahal kita beritahu, penyasaran subsidi semua Perdana Menteri sebelum itu sudah setuju cuma tidak ada tekad politik untuk melaksanakan kerana risikonya ada, tetapi untuk selamatkan negara, kita tidak ada pilihan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Majlis Perhimpunan Bulanan Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) bulan Jun 2024 di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof serta beberapa menteri kabinet.

Kerajaan pada Ahad mengumumkan harga diesel diapungkan bermula tengah malam tadi dengan harga ditetapkan pada RM3.35 seliter berbanding harga asal RM2.15 seliter sebelum ini.

Bagaimanapun 80 peratus pengguna diberikan Bantuan Subsidi Diesel MADANI (BUDI MADANI) sebanyak RM200 sebulan yang diterima mulai hari ini.

  • Oleh Mohamad Iskandar Ibrahim


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *