Penjelasan KKDW Patahkan Hujah Akmal Saleh – Saifuddin Shafi

Saifuddin Shafi berkata, prinsip itu bukan perkara yang dipertikaikan, sebaliknya isu sebenar adalah penjelasan rasmi KKDW sendiri yang menyatakan RM300 juta berkenaan bukan peruntukan tambahan.
KUALA LUMPUR, 2 Sep – Penjelasan rasmi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berhubung RM300 juta yang diluluskan kepada kementerian itu dilihat bercanggah dengan hujah Ketua Pemuda Umno, Muhamad Akmal Saleh mengenai peruntukan tambahan.
Timbalan Setiausaha Agung KEADILAN, Saifuddin Shafi Muhammad berkata, Akmal sebelum ini menjelaskan perbelanjaan kementerian melebihi peruntukan asal boleh berlaku melalui mekanisme peruntukan tambahan yang diluluskan mengikut tatacara kewangan kerajaan.
Namun katanya, prinsip itu bukan perkara yang dipertikaikan, sebaliknya isu sebenar adalah penjelasan rasmi KKDW sendiri yang menyatakan RM300 juta berkenaan bukan peruntukan tambahan.

“KKDW menegaskan kementerian tidak boleh sewenang-wenangnya berbelanja melebihi peruntukan kerana setiap perbelanjaan tertakluk kepada peruntukan yang diluluskan dan dikawal melalui sistem kewangan kerajaan.
“Lebih penting, KKDW turut menjelaskan jumlah sekitar RM300 juta itu bukan peruntukan tambahan, sebaliknya disalurkan melalui Surat Kuasa Berbelanja bagi menampung komitmen dan tunggakan terdahulu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Saifuddin, keadaan itu menjadikan hujah isu berkenaan sekadar boleh dijelaskan sebagai ‘bajet tambahan’ tidak lagi memadai.
Ujarnya, apabila kementerian sendiri menyatakan RM300 juta itu bukan peruntukan tambahan, penjelasan awam berhubung perkara tersebut perlu selari dengan kedudukan rasmi KKDW.
“Dalam urusan kewangan negara, istilah bukan perkara kecil. Peruntukan asal, peruntukan tambahan, pindahan peruntukan, Surat Kuasa Berbelanja dan perbelanjaan sebenar membawa maksud serta implikasi yang berbeza.
“Sebab itu angka daripada kategori yang berlainan tidak boleh dicampur aduk semata-mata untuk membina satu kesimpulan politik,” tegasnya.
Umno Masih Bergantung Kepada PM, Zahid Jangan Angkuh – Saifuddin Shafi
Saifuddin berkata, rekod rasmi Kementerian Kewangan menunjukkan KKDW menguruskan peruntukan yang besar, dengan peruntukan keseluruhan sekitar RM11.55 bilion pada 2024 dan meningkat kepada kira-kira RM11.96 bilion pada 2025.
Justeru katanya, KKDW wajar membentangkan secara terbuka kedudukan sebenar peruntukan asal, sebarang pindaan atau tambahan, jumlah yang disalurkan melalui Surat Kuasa Berbelanja, perbelanjaan sebenar serta pecahan program yang menerima dana tersebut.
“Jika perbandingan mahu dibuat dengan Kementerian Pendidikan atau mana-mana kementerian lain, perbandingan itu mestilah dibuat atas asas kategori kewangan yang sama.
“Peruntukan asal mesti dibandingkan dengan peruntukan asal, peruntukan selepas pindaan dengan peruntukan selepas pindaan dan perbelanjaan sebenar dengan perbelanjaan sebenar,” ujarnya.
Dalam pada itu, Saifuddin turut menggesa ketelusan sama diberikan terhadap perbelanjaan struktur Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) serta Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP).
Katanya, rakyat berhak mengetahui jumlah keseluruhan perbelanjaan, mekanisme pelantikan, komposisi serta asas pemilihan ahli kedua-dua struktur berkenaan.
Tegasnya, isu tersebut bukan berkaitan kesahihan mekanisme peruntukan tambahan, sebaliknya menyentuh konsistensi fakta, ketepatan istilah, ketelusan angka dan akauntabiliti dalam pengurusan wang rakyat.
“Akmal tidak boleh mempertahankan isu ini dengan mengatakan ‘kementerian lain juga menerima bajet tambahan’ apabila KKDW sendiri menjelaskan jumlah RM300 juta yang dipersoalkan bukan peruntukan tambahan.
“Jangan alihkan persoalan kepada kementerian lain. Bentangkan sahaja angka penuh KKDW secara teratur dan konsisten dengan penjelasan rasmi kementerian sendiri,” katanya.
Saifuddin berkata, dengan hampir RM12 bilion wang rakyat diuruskan KKDW dalam tempoh setahun, rakyat berhak mendapat penjelasan yang tepat dan lengkap.
“Dalam soal hampir RM12 bilion wang rakyat, retorik tidak mencukupi. Fakta mesti tepat, angka mesti lengkap dan penjelasan mesti konsisten,” tegasnya.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web




