Peningkatan Undi Semua Kaum Bukti Kerajaan Perpaduan Diterima Rakyat

PENDAPAT, 14 Mei – Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu melabuhkan tirai dengan calon Pakatan Harapan (PH) dari DAP, Pang Sock Tao mempertahankan kerusi itu dengan majoriti 3,869 undi.

Secara keseluruhan jumlah undi diperoleh Sock Tao adalah sebanyak 14,000 undi, manakala wakil Perikatan Nasional (PN) Khairul Azhari Saut memperoleh 10,131 undi, calon Bebas dan Parti Rakyat Malaysia (PRM) masing-masing 188 serta 152 undi sekali gus hilang deposit.

Kemenangan PH itu seharusnya melegakan Kerajaan Perpaduan kerana kerusi itu tidak pernah tewas sejak sekian lama. Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023, penyandangnya iaitu Lee Kee Hiong, memperoleh 14,862 undi. Kemenangan Sock Tao juga mengekalkan jumlah kerusi DUN Kerajaan Perpaduan di Selangor.

Pang (tengah) memberikan bunga dan beramah mesra dengan penduduk tempatan sempena sambutan Hari Ibu di Pasar Awam KKB hari ini. Foto Bernama

Trend pengurangan jumlah undi sejak PRN sesuatu yang perlu difikirkan PH dalam memastikan mereka terus kekal memenangi kerusi berkenaan pada pilihan raya akan datang.

Namun, peningkatan sokongan bagi setiap kaum terutama pengundi Melayu dan Orang Asli menunjukkan gabungan ini semakin diterima rakyat dengan peratusan keluar mengundi mencatatkan 61.51 peratus, menurun 10.42 peratus berbanding PRN Ogos tahun lalu.

Hasil keputusan PRK kali ini, pertamanya penganalisis melihat kemenangan PH adalah kejayaan amat bermakna kerana berjaya mengekalkan kemenangan di DUN Kuala Kubu Bharu.

Bagi rakyat Kuala Kubu Bharu, pastinya akan menikmati limpahan pembangunan kerajaan Persekutuan kerana berada di bawah payung pentadbiran parti yang sama iaitu Kerajaan Perpaduan.

Naib Pengerusi KEADILAN Wilayah Persekutuan Andre Lai membantu ‘flashmob’ merayu pengundi luar balik kampung di persimpangan jalan sekitar KKB pada Jumaat. Foto Facebook Andre Lai

Hasil pemerhatian, sesi kempen pilihan raya kali ini juga dilihat seimbang di antara PH dan PN sehinggakan agak sukar untuk penganalisis membuat penilaian segera mengenai parti mana akan dapat menawan DUN Kuala Kubu Bharu.

Kematangan berpolitik harus dipuji

Kesungguhan dan kematangan berpolitik ketika berkempen dipamerkan parti serta calon bertanding harus diberikan pujian, menjadi cerminan kepada sistem demokrasi adil dan berkesan di Malaysia.

Hasil keputusan PRN juga mempamerkan jumlah keluar mengundi generasi muda terutama bagi saluran tiga dan empat yang menunjukkan peningkatan. Strategi PH-DAP meletakkan calon muda dilihat berkesan, membuktikan generasi muda ingin peluang diberikan kepada mereka kerana dilihat lebih cergas, cekap dan idealis dalam segala perkara.

Media sosial masih menjadi medium paling berkesan menyampaikan segala ideologi politik kepada pengundi. Rata-rata jentera kempen calon menggiatkan media sosial untuk mempengaruhi pengundi saluran tiga dan empat lebih mudah tercapai.

Kaedah ini lebih berkesan dan secara tidak langsung mampu menyuburkan sistem demokrasi dalam meraih undi terutama generasi muda pada pilihan raya akan datang.

Bagaimanapun kempen secara fizikal iaitu ceramah perdana serta kempen rumah ke rumah tidak boleh diabaikan kerana kaedah ini bertujuan memperkenalkan calon secara terus kepada pengundi.

Kemenangan calon PH mencerminkan kerjasama antara parti komponen Kerajaan Perpaduan semakin erat di sebalik perbezaan yang wujud. Dalam situasi ekonomi sekarang, adalah penting untuk mempamerkan kestabilan politik bagi memberi keyakinan kepada pelabur asing.

Kejayaan ini sekali lagi mengukuhkan kepentingan dan keperluan kerjasama di antara parti politik dalam Kerajaan Perpaduan untuk memastikan masa depan negara stabil dan sejahtera.

Kedua, dari segi mengekalkan keharmonian politik, kemenangan wakil Kerajaan Perpaduan menunjukkan kestabilan dan keberkesanan kerjasama di antara parti terbabit khususnya PH-BN.

Dengan mengatasi cabaran politik dan menunjukkan perpaduan ketika kempen, parti ini sekali lagi mengesahkan komitmen mereka untuk bekerjasama tanpa ada unsur sabotaj dan boikot menghadapi PRK.

Calon Pakatan Harapan (PH) Pang Sock Tao dijangka menang kerusi DUN KKB berdasarkan keputusan tidak rasmi yang dikeluarkan.

Ketiga, ia mengukuhkan keberkesanan Kerajaan Perpaduan. Kejayaan kerajaan perpaduan memperoleh sokongan majoriti dalam PRK membuktikan keberkesanan dasar dibawa kerajaan pada hari ini. Usaha memelihara tatakelola cemerlang membolehkan Kerajaan Perpaduan terus menjadi pilihan relevan dan masih dipercayai rakyat.

Keempat, kemenangan PH turut merujuk kepada meningkatnya keyakinan rakyat terhadap kestabilan politik negara hasil dipimpin Kerajaan Perpaduan serta berjaya menepis persepsi pembentukan kerajaan hari ini tidak stabil dan tiada persefahaman antara parti terbabit.

Apa yang penting, pasca PRK menuntut pelaksanaan segala janji ditaburkan ketika kempen tempoh hari. Segala perancangan pembangunan dan penyelesaian membabitkan isu setempat juga perlu segera disusun atur.

Sekiranya segala manifesto dibentangkan dapat dilaksanakan sepanjang tempoh menjadi wakil rakyat, sudah semestinya akan dapat memberikan impak positif kepada Sock Tao dan gabungan parti Kerajaan Perpaduan.

Rakyat sentiasa memerhati dan menunggu perubahan akan dibawa wakil rakyat diberikan mandat sebagai Yang Berhormat untuk membantu mereka yang masih dibelenggu dengan peningkatan kos sara hidup.

Boleh dirumuskan PRK DUN Kuala Kubu Baharu menjadi saksi kerjasama antara komponen parti di bawah Kerajaan Perpaduan relevan dan wajar dikekalkan. Ia bukan sahaja mengukuhkan kestabilan politik negeri dan negara tetapi membuktikan kerjasama di antara parti politik berbeza ideologi adalah asas kejayaan dalam pentadbiran negara.

  • Oleh Dr Abdul Hadi Samsi

Penulis adalah Felo Pengajar Sains Politik UPM Kampus Bintulu


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *