Penguasa Bomba Didakwa Terima Rasuah RM11,500

Penguasa bomba itu didakwa melakukan kesalahan itu di belakang Restoran Yasmeen, Amanjaya Mall, Sungai Petani pada 4 April 2024, jam 12.30 tengah hari.
ALOR SETAR, 4 Ogos – Seorang pegawai bomba didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM11,500 pada 2024 dan tahun lalu.
Tertuduh Johari Bar Azwar, 40, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan selepas semua pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Priscilla Hemamalini Nadarajan.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh yang bertugas sebagai Penguasa Bomba di Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sungai Petani didakwa secara rasuah memperoleh untuk dirinya wang tunai RM1,500 daripada pemilik syarikat Kejuruteraan Union Langkawi Sdn Bhd, Khaw Kon Aun, 66, sebagai dorongan mendapatkan Surat Sokongan Pelesenan JBPM.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di belakang Restoran Yasmeen, Amanjaya Mall, Sungai Petani pada 4 April 2024, jam 12.30 tengah hari.
Berikutan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai rasuah.
Tertuduh turut didakwa meminta dan menerima wang suapan berjumlah RM10,000 daripada pemilik syarikat Jin Hua Tong Sdn Bhd, Lim Zhan Xian, 27, sebagai dorongan mendapatkan Surat Sokongan Pelesenan JBPM bertarikh 3 Februari 2025 bagi syarikat Jin Hua Tong Sdn Bhd dan Megamaju Sdn Bhd.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan syarikatJin Hua Tong Sdn Bhd di Kawasan Perindustrian Taman Ria Jaya, Sungai Petani, pada 4 Februari 2025, jam 3 petang.
Berikutan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009, yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda nilai rasuah.
Oleh M Hifzufddin Ikhsan
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web


