‘Penghijrahan’ Ellron Angin Isyarat Kelemahan STAR Di Pensiangan?

IMG_7109

Ellron Angin menyerahkan borang keahliannya kepada Ketua Gagasan Rakyat Pensiangan, Abdul Ghani Yassin pada 1 Oktober 2026. Foto Gagasan Rakyat

KENINGAU, 2 Okt – Keputusan bekas Timbalan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Ellron Alfred Angin menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) bersama beberapa bekas pemimpin dan ahli akar umbi dari Sook, Nabawan serta Tulid, dilihat penganalisis sebagai petanda jelas kemerosotan pengaruh STAR di parlimen Pensiangan menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Ellron, bekas Menteri Belia dan Sukan Sabah, menyerahkan borang keahliannya kepada Ketua Gagasan Rakyat Pensiangan, Abdul Ghani Yassin, sebelum terus dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa (AJK) bahagian tersebut.

Ia merupakan satu tanda jelas penerimaan segera yang mencerminkan nilai strategik pengalaman politik beliau, memandangkan Ellron pernah mewakili kerusi Sook sejak 1995 di bawah pelbagai bendera parti termasuk PBRS, BN dan STAR.

Ellron Angin ketika menjadi calon DUN Sook pada PRN Sabah 2025. Foto Ellron Angin

Penganalisis politik melihat penghijrahan berkelompok ini bukan sekadar seorang individu tetapi turut membawa bekas pemimpin dan ahli akar umbi dari tiga kawasan berbeza, sebagai lebih membimbangkan buat STAR berbanding kehilangan satu tokoh sahaja.

Ia menunjukkan jentera akar umbi parti pimpinan Jeffrey Kitingan itu mungkin semakin goyah di kubu kuat pedalaman yang pernah menjadi asas sokongan tradisional mereka.

Bagi Gagasan Rakyat pula, penyertaan ini memperkukuh persiapan menghadapi PRU16 dengan lebih tersusun, termasuk pembentukan jawatankuasa penyelaras di peringkat Dewan Undangan Negeri dan penubuhan cawangan berasaskan pusat daerah mengundi. Ini selari dengan strategi lebih luas Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memperkukuh komponen partinya menjelang pertarungan besar akan datang.

Apakah tindakan Ellron ini menunjukkan jentera akar umbi parti pimpinan Jeffrey Kitingan itu mungkin semakin goyah di kubu kuat pedalaman yang pernah menjadi asas sokongan tradisional mereka?

Namun, penganalisis turut mengingatkan penghijrahan politik bermusim sebegini lazimnya akan meningkat menjelang pilihan raya persekutuan atau negeri yang tidak semestinya menjamin pengekalan sokongan pengundi sebenar di peringkat akar umbi.

Ia memandangkan faktor populariti calon individu sering lebih berpengaruh berbanding label parti di kawasan pedalaman Sabah sejak berbelas tahun dahulu.

Walaupun STAR masih belum memberi reaksi terhadap keputusan Ellron, namun parti itu mesti mengambil tindakan sewajarnya terutama di kalangan ahli yang merasa keliru tentang hala tuju parti yang hanya dilihat agak kuat di Keningau sahaja.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *