Pengguna Sabah, Sarawak Lega Kurang Kos Belanja Harga Telur Turun

Seorang peniaga kuih, Nor Zuraini Abdul Aziz memperoleh bekalan telur ayam di sebuah kedai pemborong telur untuk perniagaan kuih-muihnya ketika tinjauan. Foto Bernama

KOTA KINABALU, 18 Jun – Penurunan harga runcit telur ayam gred A, B dan C sebanyak tiga sen sebiji yang berkuat kuasa semalam memberi kelegaaan kepada penduduk di Malaysia Timur.

Di SABAH, Pengerusi Yayasan Pengguna Negara Malaysia negeri David Chan berkata rakyat hari ini khususnya golongan B40 masih bergantung kepada sumber telur dan ayam sebagai makanan harian dan pasti akan membebankan mereka jika harga diapung kepada pasaran bebas.

Selain itu, para peniaga berkaitan produk ayam dan telur juga akan terbeban untuk beroperasi melainkan terpaksa menaikkan harga sekali gus menjejaskan jualan.

Perbezaan antara era Perikatan Nasional (kiri) dengan Kerajaan Perpaduan (kanan) apabila PN menambah subsidi ke atas telur dan membebankan kerajaan sedangkan Kerajaan Perpaduan menyasarkan subsidi dan mampu menurunkan harga telur sebanyak 3 sen.

“Hari ini sumber telur dan ayam amat rapat dengan kehidupan dan kita bimbang jika harganya tidak dikawal akan menyebabkan banyak pihak terjejas memandangkan ramai masih berdepan pelbagai isu kenaikan harga barang dan kos sara hidup.

“Ini (penurunan harga runcit telur) sedikit sebanyak dapat membantu rakyat menjalani kehidupan harian,” katanya mengulas pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai perkara itu semalam.

Berdasarkan pengumuman itu, harga runcit baharu bagi telur ayam gred A, B dan C masing-masing ditetapkan 42 sen, 40 sen dan 38 sen sebiji, berkuat kuasa semalam.

Pengguna di Sarawak turut menikmati harga telur lebih rendah susulan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 17 Jun lalu. Foto Arkib

Di SARAWAK, Presiden Persatuan Suara Konsumer Sarawak (Covas) Michael Tiong menyifatkan penurunan sebanyak tiga sen itu sebagai isyarat positif berkenaan kepekaan kerajaan terhadap keperluan asas rakyat dan kesediaan untuk meringankan beban mereka.

Menurut beliau, langkah penurunan harga telur memberikan kesan positif kepada penggunaan sekali gus mampu menstabilkan harga barang keperluan asas lain dengan memberi penekanan kepada peniaga untuk tidak menaikkan harga sewenang-wenangnya.

“Jika peniaga masih menaikkan harga barang, kerajaan harus mengambil tindakan tegas untuk memastikan bahawa penurunan harga yang diumumkan benar-benar sampai kepada rakyat,” katanya kepada Bernama di sini.

Suri rumah Zihani Ismawi, 35, yang juga pengusaha karipap sejuk beku berkata pengurangan harga telur dapat membantu mengurangkan beban kos harian dan meningkatkan daya beli terutama golongan yang bergantung kepada telur sebagai sumber protein.

Selain itu, pengusaha kek Winnie Elyse, 49, berkata pengurangan harga itu memberi kelegaan memandangkan telur sebagai bahan utama dalam pembuatan kek dan sebarang kenaikan akan memberikan impak besar dari segi kos pengeluaran modal perniagaan. – Bernama


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *