Pengarah Filem Mansor Puteh Terkorban Nahas Jalan Raya

Allahyarham Mansor Puteh meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya di Alam Damai, Cheras, pagi tadi.

KUALA LUMPUR, 7 JulPengarah dan pengkritik filem serta budaya, Mansor Puteh, 70, terkorban dalam nahas jalan raya di Alam Damai, Cheras, di sini, kira-kira jam 10 pagi tadi.

Berita duka itu dikongsi oleh pengarah dan pelakon, Mior Hashim Manap.

Mior berkata, jenazah sudah dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) untuk urusan selanjutnya.

“Saya dimaklumkan dalam kumpulan WhatsApp. Berita ini dikongsi anak buah seorang sahabat kami yang juga anggota polis trafik.

“Saya terkejut Mansor meninggal dunia disebabkan kemalangan pagi tadi, tetapi saya tak pasti jam berapa,” katanya ketika dihubungi BH Online.

Mior meluahkan perasaan ralat apabila tidak dapat berjumpa dengan arwah sebelum kembali ke rahmahtullah.

“Baru-baru ini, filem Imam menyertai ke festival filem di Iran. Insan yang banyak berjasa adalah arwah.

“Beliau usaha dan angkat filem Imam pergi ke banyak lokasi. Jadi, saya terkilan tak dapat bertemunya.

“Kali terakhir kami jumpa sebelum ke Iran, dua bulan lalu. Semalam sepatutnya ada tayangan apresiasi filem Imam.

“Saya ingatkan beliau datang, tapi tak datang, ingat dapatlah jumpa semalam,” katanya.

Terdahulu, Mansor dikenali dengan sikapnya yang suka menderma darah dan pernah menerima sijil pengiktirafan atas sumbangannya menderma darah sebanyak 500 kali pada 2018.

Pada 2021 dilaporkan Mansor adalah rakyat kedua terbanyak menderma darah dalam negara. Mansor sudah berusia lebih 60 tahun, tetapi masih komited mendermakan darah demi membantu sesama insan.

Mendapat pendidikan awal dalam bidang komunikasi massa dari Institut Teknologi Mara (ITM), Mansor pernah menjadi wartawan sebelum melanjutkan pengajian dalam jurusan Master of Fine Arts in Film Directing, Universiti Columbia pada 1978.

Beliau pernah mengarahkan filem berjudul Seman pada 1988, selain menghasilkan dokumentari 48 minit mengenai Tunku Abdul Rahman bertajuk Residency Years atau Bertahun Di Residensi.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *