Penduduk Pedalaman Lega Kuota BUDI Diesel Kurangkan Beban Bulanan

Pemantauan secara turun padang dilakukan Datuk Seri Amir Hamzah Azizan bertujuan mendapatkan maklum balas secara langsung mengenai pelaksanaan kuota BUDI95 dan BUDI Diesel termasuk di Sabah dan Sarawak.
BINTULU, 2 Sep – Peningkatan kuota BUDI Diesel kepada 400 liter sebulan sebenarnya langkah tepat bagi meringankan beban masyarakat di kawasan pedalaman yang sejak sekian lama berdepan kos bahan api tinggi akibat jarak perjalanan yang jauh dan keadaan muka bumi mencabar.
Ini diakui sendiri pengguna kenderaan diesel yang melihat peningkatan berkenaan mampu menggerakkan ekonomi tempatan lebih rancak tanpa terlalu memikirkan kuota yang dikatakan tidak mencukupi dalam tempoh sebulan.
Ia juga langkah Kerajaan MADANI mengambil kira maklum balas masyarakat di lapangan, khususnya penduduk luar bandar yang berdepan keadaan jalan dan bentuk muka bumi berbeza berbanding kawasan bandar.
Berdasarkan kiraan kasar, sesebuah kenderaan menggunakan kira-kira 250 hingga 350 liter diesel sebulan mengikut jarak dan tujuan penting seperti bekerja atau menggunakan kuota berkenaan untuk meningkatkan ekonomi kendiri seperti berkebun atau mengangkut hasil pertanian ke kawasan bandar.
Secara purata, penjimatan lebih RM200 hingga RM300 sebulan mampu menampung keperluan bulanan atau digunakan untuk menyimpan wang bagi bayaran cukai jalan dan insurans kenderaan.
Pada 30 Ogos lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peningkatan kuota berkenaan dalam amanat Hari Kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Sabtu lalu, sekali gus memberi manfaat kepada lebih setengah juta pemilik kenderaan diesel jenis pacuan empat roda (4WD) dan jip yang layak di seluruh negara.

Sebelum ini, kuota diesel bersubsidi ditetapkan sebanyak 200 liter sebulan, dengan tambahan 100 liter boleh dimohon, menjadikan had maksimum 300 liter.
Peningkatan kepada 400 liter itu dibuat susulan pelbagai rayuan daripada pemimpin dan masyarakat di Sarawak serta Sabah yang berpandangan kuota terdahulu tidak mengambil kira realiti keperluan sebenar penduduk di kawasan luar bandar.
Ketika krisis di Asia Barat masih berlanjutan, adalah diharapkan peningkatan kuota ini seiring dengan peningkatan kualiti hidup bagi merancakkan ekonomi domestik seperti pengenalan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

