Penduduk Hulu Besut Terpaksa Cuci Beras Guna Air Sungai

Che Norasmariza sedang mencuci beras untuk dimasak di Sungai Kachong, Hulu Besut di Besut semalam.

BESUT, 19 Mei – Sebanyak 50 keluarga di Kampung Baru Lata Tembakah, Hulu Besut, di sini terpaksa menggunakan air sungai selepas te­laga di rumah mereka ke­keringan akibat cuaca panas sejak dua bulan lalu.

Telaga merupakan satu-sa­tunya sumber air buat 50 keluarga itu yang tidak mene­rima bekalan air bersih daripada Syarikat Air Terengganu Sdn. Bhd. (Satu).

Seorang penduduk, Che Siti Noraisyah Che Rezani, 32, berkata, kekeringan telaga tersebut memaksa mereka mencari sumber air bersih sehingga ke Su­ngai Kachong yang terletak kira-kira 3 kilometer dari rumahnya.

Che Norasmariza sedang mencuci beras untuk dimasak di Sungai Kachong, Hulu Besut di Besut semalam.

“Sejak hampir dua bulan lalu, kami ulang alik ke Sungai Kachong untuk mandi, cuci pakaian, minuman dan memasak tiap hari.

“Kadangkala kami terpaksa mencuci beras di sungai tersebut,” katanya ketika ditemui di Kampung Baru Lata Tembakah, di sini semalam.

Katanya, keadaan yang sudah berlarutan sejak dua bulan lalu itu amat menyukarkan penduduk kampung terutama mereka yang mempunyai anak kecil sepertinya.

Seorang lagi penduduk, Che Norasmariza Che Rezani, 20, berkata, selain Sungai Kachong, alternatif terdekat untuk mendapatkan sumber air di Lata Tembakah yang terletak kira-kira 1 kilometer dari perkampu­ngan mereka.

Namun, katanya, Lata Tembakah kurang sesuai kerana ia merupakan kawasan pelanco­ngan yang padat dengan pengunjung hampir setiap hari.

“Saya berharap musim kemarau dapat berakhir segera bagi membolehkan air telaga kami kembali pulih,” katanya.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *