Penduduk Harap RTB Dilaksana Segera, PM Anwar Minta Laporan Jumaat Ini

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menziarahi penduduk Kampung Melayu Subang dan kawasan sekitar yang ditempatkan di Dewan Siantan akibat banjir kilat pada 3 November 2026. Foto PMO
SUBANG, 3 Nov – Para penduduk sekitar Kampung Melayu Subang di sini serta kawasan sekitarnya berharap arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bertegas projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di kawasan kediaman mereka, disegerakan bagi mengelakkan bencana banjir berulang lagi.
Hujan lebat yang menjadi punca banjir kilai semalam menjejaskan kira-kira 550 rumah dan hampir 1,500 penduduk mendorong Perdana Menteri mengarahkan laporan status projek RTB Selangor diserahkan dengan segera untuk mempercepatkan pelaksanaannya.

Terdahulu, Perdana Menteri meluangkan masa kira-kira 45 minit melawat mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Siantan, di sini, pagi tadi diiringi Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari serta Ahli Parlimen Sungai Buloh, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan yang turun bertanya khabar menziarahi mangsa terbabit.
Mengulas mengenai RTB, Anwar menegaskan, projek yang sudah mempunyai kontrak perlu diteruskan tanpa sebarang kelewatan bagi memastikan usaha menangani masalah banjir dapat dilaksanakan segera.

“Projek itu kena terus berjalan, tidak boleh dicampur. Sebaik sahaja ada kontrak yang sudah ada, saya minta supaya ia dipercepatkan,” katanya.
“Saya bimbang kerana sudah dua, tiga kali banjir berlaku (di Kampung Melayu Subang). Jadi untuk peringkat Kerajaan Persekutuan, saya akan minta laporan (RTB) Jumaat ini.

“Jumaat ini juga, Menteri Besar Selangor (Datuk Seri Amirudin Shari) akan adakan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN). Beliau juga akan minta laporan terkini projek tebatan banjir (untuk peringkat negeri),” katanya.
Menurutnya, semua pihak perlu bekerjasama serta berbincang dengan wakil rakyat kawasan berhubung bantuan tambahan kepada keluarga terjejas setelah laporan dikemukakan kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

“Pesanan saya, projek tebatan banjir termasuk pelebaran sungai dan pembinaan kolam tambahan perlu dipercepatkan bagi mengurangkan risiko kejadian berulang,” tegas Anwar.
Anwar yang juga Menteri Kewangan turut mengarahkan peruntukan sebanyak RM500 juta daripada keseluruhan RM700 juta yang sudah diluluskan bagi melaksanakan projek berkaitan tebatan banjir termasuk pembinaan kolam tadahan diintegrasi dan dipercepatkan.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
