Pendidik Barisan Hadapan Bentuk Ilmu, Nilai Dan Kemanusiaan – Zambry

Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan bergambar bersama barisan penerima anugerah Global Educator Award pada Majlis Penyampaian Anugerah Global Educator Award (GEA) 2026 di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada 4 November 2026. Foto Hasniza
TANJONG MALIM, 4 Nov – Pendidik merupakan barisan hadapan dalam membentuk ilmu, nilai dan kemanusiaan yang menjadi asas kepada pembangunan generasi masa depan.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata peranan guru dan pensyarah bukan sekadar menyampaikan ilmu, malah turut membentuk pemikiran, sahsiah dan keupayaan generasi muda untuk membuat keputusan secara bertanggungjawab dalam mendepani perubahan dunia.
“Guru dan pensyarah mungkin tidak sentiasa menerima pengiktirafan masyarakat, namun sumbangan mereka membentuk generasi. Di sebalik kejayaan setiap pemimpin, saintis atau golongan profesional, lazimnya terdapat seorang pendidik yang berdedikasi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Anugerah Global Educator Award (GEA) 2026 di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), semalam.
Majlis itu turut diserikan dengan keberangkatan Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim, selaku Canselor UPSI.
Dalam pada itu, Zambry berkata kecemerlangan pendidikan tidak seharusnya diukur berdasarkan pencapaian akademik atau kedudukan institusi dalam penarafan antarabangsa semata-mata, sebaliknya perlu mengambil kira impak sebenar seseorang pendidik terhadap kehidupan masyarakat.

Katanya, pendidik cemerlang boleh dilahirkan di mana-mana sahaja, termasuk di universiti terkemuka, sekolah luar bandar mahupun institusi komuniti kecil, kerana sumbangan mereka dalam mengubah kehidupan manusia merupakan ukuran sebenar kecemerlangan.
Sehubungan itu, beliau berharap GEA yang memasuki tahun kedua penganjurannya dapat berkembang sebagai platform antarabangsa yang dihormati dalam mengiktiraf pendidik cemerlang, mempromosikan inovasi serta memperkukuh kerjasama pendidikan merentas negara.

Sementara itu, Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata penganjuran GEA 2026 mencerminkan aspirasi universiti untuk memperluas pengaruh dan kepimpinan dalam bidang pendidikan di peringkat antarabangsa.
Beliau berkata penganjuran edisi kali ini menerima 472 pencalonan dari 83 negara, sebelum 26 finalis dari 11 negara dipilih menerusi proses penilaian yang teliti.

“Melalui GEA, kita bukan sahaja mahu mengiktiraf pendidik cemerlang yang telah membawa perubahan kepada individu, komuniti dan negara, tetapi turut membina jaringan pendidik global untuk berkongsi idea, mencetuskan inovasi serta memajukan kecemerlangan pendidikan merentas sempadan,” katanya.
Pada majlis itu, seramai tujuh individu dan sebuah institusi menerima pengiktirafan menerusi lapan kategori anugerah. Penerima Avant-Garde Teacher Award ialah Prof Madya Dr. Jayanthi Arasan (Malaysia), Eminent Education Researcher Award disandang Dr. Mahdi Kolahi (Iran), Community Outreach Award diterima Peter Mokaya Tabichi (Kenya), manakala Esteemed Teacher Educator Award diberikan kepada Prof Madya Dr. Evania Yafie (Indonesia).

Sementara itu, Universiti Teknologi MARA (UiTM) menerima Transforming Educational Institution Award, manakala The HONOR EdTech Innovation Excellence Award diberikan kepada Siti Ainulmursyida Shamsudin (Malaysia). Inspiring Educational Leader Award pula dimenangi Kashmira Jaiswal (India), manakala The Legacy Educator Award diterima Chan Hung (Hong Kong).
Penerima kategori Avant-Garde Teacher Award, Eminent Education Researcher Award, Community Outreach Award, Esteemed Teacher Educator Award, Transforming Educational Institution Award dan Inspiring Educational Leader Award masing-masing menerima trofi serta geran penyelidikan bernilai RM20,317.

Manakala penerima The Legacy Educator Award membawa pulang trofi serta geran penyelidikan bernilai RM40,634.
Oleh Bazli Razak
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
