Pemikiran Masyarakat Terbuka Perkasa Persekitaran Progresif, Pragmatik

Pemikiran Masyarakat Terbuka Perkasa Persekitaran Progresif, Pragmatik

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bergambar kenangan selepas hadir pada pelancaran Buku Himpunan Esei 'Knowledge,Tradition and Civilization :Essays In Honour of Professor Osman Bakar' di ISTAC, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada 2023. Foto Bernama

PENDAPAT, 1 Okt – Tanda keterbukaan minda dalam sesuatu masyarakat atau kelompok dapat dilihat melalui beberapa ciri atau indikator berikut:

1. Kemampuan dalam meraikan kepelbagaian perbezaan:

Masyarakat yang terbuka mindanya akan menerima perbezaan pendapat, latar belakang, dan budaya. Mereka tidak cepat menghukum atau menolak pandangan yang berbeza dengan pandangan mereka, sebaliknya mereka bersedia mendengar dan mempertimbangkan perspektif lain bermula dengan seremeh perkara seperti contoh dalam bab citarasa dan selera pemakanan yang tidak sama dalam sesebuah keluarga atau rumah. Tak semua orang suka makanan A dan tidak perlu paksa semua orang untuk suka dan menikmati makanan A.

2. Kesediaan untuk berdialog dan berdiskusi:

Dialog yang terbuka dan sihat adalah satu tanda keterbukaan minda. Masyarakat yang bersedia untuk berbincang secara rasional tentang isu-isu yang kompleks tanpa prasangka atau bias (pilih kasih) sangat penting dalam proses perubahan ke arah persekitaran yang lebih baik. Kesediaan ini menjauhkan sesebuah masyarakat daripada bersikap ekstrim (pelampau). Jika dalam sesebuah keluarga meletakkan batas dengan menafikan suara ahli hingga wujudnya jurang pemisah serta sukar untuk mengadakan perbincangan banyak mata di antara orang tua, anak beranak, adik beradik, ipar duai dan anak menantu serta saudara mara, itu pun sudah menunjukkan satu bentuk kejumudan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengutuk sekeras-kerasnya tindakan ahli politik pelampau kanan Sweden-Denmark, Rasmus Paludan yang membakar naskhah al-Quran di Sweden pada 2023. Foto Bernama

3. Keterbukaan terhadap ilmu atau pengetahuan baru:

Masyarakat yang terbuka mindanya biasanya bersikap ingin tahu dan menghargai ilmu pengetahuan baru baik dalam bidang sains, teknologi, mahupun budaya serta kemahiran. Mereka sentiasa mencari peluang untuk belajar dan berkembang. Mereka juga sangat menyambut baik individu atau pihak yang ingin menyumbang ke arah positiviti bersama mereka menuju matlamat dan manfaat yang lebih baik. Pemahaman mereka juga tentang pendidikan tidak wajar disempitkan kerana pendidikan tidak semestinya berlaku di sekolah atau pusat dan organisasi tertentu. Proses belajar dan mengajar berlaku di mana-mana sahaja dan berlaku dengan cara yang pelbagai secara langsung dan tidak langsung.

4. Sikap Toleransi:

Keterbukaan minda juga ditunjukkan melalui toleransi terhadap perbezaan agama, budaya, dan gaya hidup. Masyarakat yang terbuka akan menghormati hak individu untuk membuat pilihan hidup sendiri dan tidak mengawal dan memberi tekanan hingga mendatangkan mudarat. Toleransi ini sangat perlu diwujudkan di dalam sesebuah keluarga kerana jika tiada tolak ansur, belum tentu yang tua dapat menghargai cara orang muda berfikir begitu juga sebaliknya. Jika orang tua melihat sesuatu itu sebagai no.9, boleh jadi anak muda melihat ianya sebagai nombor 6. Semudah itu!

Kamu Ajar Tok Guru Supaya Ada Adab, Akhlak Sebelum Keluar Kenyataan – PM Anwar

5. Inklusif:

Kelompok atau masyarakat yang terbuka akan menekankan kepentingan keadilan sosial dan memastikan semua golongan, termasuk minoriti diberi peluang untuk terlibat dalam kehidupan sosial, ekonomi, dan politik. Diskriminasi tidak akan berlaku jika setiap warga dalam masyarakat terbuka dalam meraikan hak sesama mereka. Ini antara elemen penting yang jarang difahami oleh ramai orang, menjadikan agama juga dipandang lekeh oleh awam jika ia dibawa oleh agamawan yang jumud dan ekstrim.

6. Fleksibiliti dalam Pandangan:

Mereka bersedia mengubah pendirian atau keyakinan jika terbukti ada fakta atau hujah yang lebih kuat. Mereka tidak terikat kepada dogma, doktrin, kepercayaan yang sempit, mainan persepsi, sentimen dan propaganda yang dimainkan oleh golongan berkepentingan.

PM Anwar Tekankan Ilmu, Akhlak Dan Adab Perlu Ada Dalam Masyarakat Islam

7. Kreativiti dan Inovasi:

Awam yang terbuka cenderung untuk memupuk kreativiti dan inovasi, kerana mereka menggalakkan percubaan dan penerokaan idea-idea baharu tanpa rasa takut untuk gagal serta mereka tiada masalah dengan kewujudan libat serta daripada pelbagai latar dan banyak pihak. Ini kerana mereka percaya, setiap daripada makhluk atau manusia mempunyai kecerdasan kemahiran berbeza dalam pembuatan. Maka mereka amat mengalu-alukan sumbangan idea, tenaga kerja dan bantuan daripada luar untuk membantu meningkatkan taraf hidup mereka.

8: Kemampuan dan keterbukaan dalam berdaya saing:

Masyarakat yang mempunyai sikap terbuka tidak mungkin akan jatuh menjatuhkan kerana mereka percaya kepada perbezaan proses yang dilalui serta memahami tentang konsep persaingan sihat tidak kira dalam perniagaan, pertandingan dan rebut peluang. Maka, tidak timbul isu monopoli, mendominasi dan diskriminasi kerana mereka percaya kepada kemampuan persaingan secara efektif serta persekitaran yang kompetetif.

PM Anwar Hadir Majlis Ilmu MADANI Dan Peluncuran Terjemahan Kitab Fiqh Zakat

Jatuh bangun itu biasa kerana ia sebahagian daripada proses mencapai kejayaan dan impian. Setiap orang juga punya daya tahan yang berbeza. Ia tidak merisaukan bagi yang telah biasa menerima kekalahan dan kejatuhan. Yang merisaukan apabila jatuh menjatuhkan hanya kerana takut dengan bayang-bayang sendiri atau kerana ketidakmampuan melihat orang lain lebih.

Sayang apabila budaya sebegini berlaku dengan amat parah hingga timbul terlalu banyak halangan dalam melaksanakan sesuatu kerja,aktiviti dan program dan mengakibatkan kegagalan dalam melakukan gerak kerja yang lebih komited dan fokus.

9: Gaya percakapan dan penyampaian komunikasi:

Ini juga antara salah satu kayu ukur menentukan keterbukaan minda sesebuah masyarakat. Jika nak berbual tentang sesuatu perkara yang berlainan aliran pemikiran pun sudah menjadi hal yang sangat sulit,maka tidak hairan lah golongan minoriti lebih suka membuat hal sendiri dan lebih banyak mengelak bersosial.

Deklarasi Beijing Langkah Penting Bagi Capai Kebebasan Palestin – PM Anwar

Ini kerana jurang sosial dan peluang berbual tentang sesuatu yang berbeza serta ketidakmahuan mendengar serta penerimaan perbezaan juga dibataskan oleh golongan majoriti yang mendominasi.

Yang menjadi punca mengapa kebanyakan orang mudah untuk merasa lebih baik menjauh,lari jauh atau ‘jauh hati’ kerana cara komunikasi yang tidak berkesan seperti bercakap dengan nada ejekan, sindirian, meremehkan, menghukum dan sebagainya.

Membuli mental dan emosi golongan yang tidak sependapat samada di alam nyata atau di alam maya juga memberi kesan negatif dalam masyarakat. Apatah lagi buli ini dilakukan oleh pihak yang mempunyai kumpulan ramai.

10. Tidak merasa ‘terpaling’ dan jauh daripada ketaksuban:

Ketaksuban kepada pemikiran, pendapat, individu, kelompok mahupun organisasi antara yang menjadi punca utama pemikiran tertutup. Perasaan terpaling tahu, terpaling hebat, terpaling bijak, terpaling baik dan terpaling berkuasa adalah musuh dalam melakukan perubahan kerana ia tidak menggalakkan ruang terbuka untuk penglibatan banyak pihak dalam sesuatu proses dan perkara.

Tolak Fahaman Sempit – PM Anwar

11. Tinggi dengan sikap hormat-menghormati:

Hormat adalah salah satu dasar penting dalam membangun negara Malaysia MADANI. Hormat-menghormati adalah tonggak kejayaan sesebuah negara atau negeri yang membangun.Hormat kepada perlembagaan, undang-undang amat penting agar manusia tidak mudah melanggar batas-batas hukum dan hak kemanusiaan. Jika mahu budaya dan tradisi dihormati dan dijunjung, maka ia memerlukan pelbagai pihak yang berbagai latar untuk saling menghormati sebagai asas penting dalam mencipta kerukunan dan keharmonian sesebuah masyarakat.

Barulah tidak berlaku ‘koksey kokdey’ bak kata ‘ore Kelate’ (orang Kelantan) yang membawa makna semberono. Ada peribahasa asing menyebut: “It takes two to tango”. Kita hormat budaya selain daripada budaya kita dalam masa yang sama orang lain juga akan menghormati budaya kita.

Tak mungkin orang luar dipaksa memahami rentak dan cara kita sedangkan kita pula selalu mengelak untuk belajar, memahami dan menghormati cara orang lain. Sama jugalah apabila melakukan kesalahan. Bagaimana mungkin kemaafan diharapkan sedangkan budaya meminta maaf tidak dipupuk. Walhal maaf dan memafkan kedua-duanya dianjurkan oleh agama. Tetapi sayang apabila sesetengah daripada kita mengambil agama ‘separuh-separuh’ dan sesuai dengan tekak mereka, tidak hairanlah dinihari wujudnya para ‘penunggang agama’ yang membuatkan masyarakat takut dengan golongan agamawan.

Dengan adanya ciri-ciri ini, sesebuah masyarakat dapat dianggap sebagai memiliki minda yang terbuka, yang membolehkan mereka lebih progresif dan inklusif dalam pelbagai aspek kehidupan.

PM Anwar Beri Amaran Kepada Pas ‘Bina Mahligai Atas Pusara’

Masyarakat juga harus memahami bahawa keterbukaan bukan bermakna melanggar prinsip-prinsip moral dan etika, tetapi harus ada pertimbangan keberagaman pandangan dan mempertahankan nilai, kemanusiaan, batasan agama dan semisal dengannya.

Percaya atau tidak, menerima atau tidak, persekitaran yang terbuka menjadikan masyarakat lebih selesa beraktiviti, bergerak, berkarya serta tidak tersekat dengan satu corak. Suasana yang lebih terbuka menjadikan emosi dan mental lebih sihat untuk meneruskan kehidupan seharian walau pelbagai masalah melanda.

– Oleh Nurul Fathiyyah Izzati Afifah binti Ibrahim

—————

Artikel di atas merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Harapan MADANI


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web