Pemergian Tan Sri L Krishan Tinggalkan Legasi Besar Industri Seni, Budaya Negara – PM Anwar

Pemergian Tan Sri L Krishan Tinggalkan Legasi Besar Industri Seni, Budaya Negara - PM Anwar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang Tan Sri L Krishnan yang meninggal dunia pada 25 September 2026. Foto X Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 25 Sep – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang Tan Sri L Krishnan yang meninggal dunia di Chiang Mai, Thailand.

Menerusi hantaran di media sosialnya, Perdana Menteri menyifatkan pemergian mendiang yang berusia 104 tahun itu meninggalkan legasi besar dalam industri seni dan budaya negara sepanjang hayatnya.

Mendiang merupakan bekas pelajar High School Bukit Mertajam dan antara tokoh terawal yang mencorakkan perkembangan filem Melayu, ujar Anwar yang berdukacita menerima perkhabaran itu.

“Sebagai pengarah, mendiang menghasilkan karya-karya penting pada era 1950-an dan 1960-an bersama Shaw Brothers, Malay Film Productions, Cathay-Keris dan Merdeka Studios.

Antara karya arahan mendiang termasuk Bakti, Keris Sempena Riau dan Selendang Merah. Mendiang turut dikenang kerana membimbing dan menggilap bakat ramai bintang ternama, antaranya Seniman Agung Tan Sri P. Ramlee, Datuk Maria Menado, Mustapha Maarof, M. Amin dan Rosnani Jamil.

“Lebih enam dekad dalam dunia filem, iklan dan muzik telah meninggalkan legasi besar dalam industri seni dan budaya negara. Pastinya jasa dan sumbangan mendiang dalam memperkaya khazanah seni tanah air akan terus dikenang.

L Krishnan bersama rakan-rakan seperjuangannya dalam industri seni. Dari kiri: Mariani Ismail, Salmah Ahmad, Datuk Mustapha Maarof, Tan Sri Jins Samsudin, Kuswadinata dan Datuk Aziz Satar mengucapkan tahniah kepadanya selepas dianugerah Doktor Falsafah dari Universiti Russia pada 2009. Foto Bernama

“Takziah kepada seluruh keluarga. Semoga mereka diberikan kekuatan dan ketabahan menghadapi kehilangan ini,” ujar Anwar.

Sementara itu, Datuk Rosnani Jamil terkilan tidak dapat memberi penghormatan terakhir kepada insan yang banyak berjasa melonjakkan namanya di persada seni, iaitu tokoh legenda dan perintis filem Melayu itu.

Rosnani mengakui tahu kesihatan mendiang Krishnan yang semakin uzur sejak bulan lalu melalui isterinya, Puan Sri Rukmanee.

Mendiang Krishnan yang dilahirkan pada 21 Oktober 1922 di Madras, India adalah antara tokoh penting yang banyak mencorakkan industri perfileman Melayu sehingga yang ada sekarang.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web