Pemergian Presiden Iran: PM Anwar Luah Rasa Terkesan Dan Sedih, Kirim Doa Dan Solidariti Buat Rakyat Iran

Foto pertemuan terakhir antara Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Iran Ebrahim Raisi pada sela-sela Perhimpunan Agung PBB (UNGA) di New York, Amerika Syarikat pada September tahun lalu. Foto X Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 20 Mei – ‘Terkesan dan sedih’.

Itu luahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menzahirkan perasaan dukacita beliau menerusi kenyataannya di Facebook, berhubung kematian Presiden Iran Ebrahim Raisi dan delegasi kepemimpinan Iran yang terlibat dalam nahas helikopter.

Dalam pada itu, Anwar turut mengenang kali terakhir beliau bersemuka dengan Allahyarham Raisi.

“Saya sempat ketemu almarhum Presiden Raisi di New York, Amerika Syarikat pada tahun lalu dan telah menekuni pelbagai perkara yang dekat dengan kedua-dua negara.

Foto pertemuan terakhir antara Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Iran Ebrahim Raisi pada sela-sela Perhimpunan Agung PBB (UNGA) di New York, Amerika Syarikat pada September tahun lalu. Foto X Anwar Ibrahim

Anwar turut memuji peribadi Allahyarham sebagai seorang yang terbuka namun tegas terutamanya dalam soal pembangunan rakyat Iran serta mempunyai keupayaan yang tinggi dalam memelihara Republik Islam Iran sebagai negara dan tamadun yang kuat.

“Saya selesa bekerjasama dengan beliau dan tragedi ini tentunya menyedihkan dan meninggalkan bekas yang mendalam terutamanya dalam perjuangan membela warga Palestin.

“Malaysia lantas berduka atas tragedi ini dan bersedih atas malapetaka yang menimpa negara sahabat Iran. Doa dan solidariti buat rakyat Republik Islam Iran, dan semoga Allah SWT mengampuni dosa mereka dan memberi tempat yang istimewa di sisiNya,” pada akhir catatan Anwar.

Ucapan takziah Anwar kepada kerajaan dan rakyat Iran turut disiarkan dalam versi Bahasa Inggeris bagi pemakluman antarabangsa.

Allahyarham dan Menteri Luar negara itu terkorban dalam nahas berkenaan selepas pulang dari sempadan Iran-Azerbaijan melawat tapak projek empangan bersama Presiden Azerbaijan Ilham Alliyev pada Ahad.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *