Pembangunan Pesat Sabah Bukti Komitmen PM Anwar Terhadap Semangat MA63
Komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam membangunkan Sabah menerusi MPTMA63 menerima banyak perkembangan positif sejak November 2022. Foto Bernama
LAHAD DATU, 23 Sep – Hampir empat tahun sejak Kerajaan MADANI mentadbir negara pada 2022, pembangunan Sabah menyaksikan lonjakan ketara yang membuktikan komitmen tinggi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap merealisasikan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), bukan sekadar retorik politik semata-mata.
Peruntukan pembangunan Persekutuan bagi Sabah meningkat kepada RM6.9 bilion bagi 2026, berbanding RM4.4 bilion pada 2022, manakala Pemberian Khas interim turut meningkat daripada RM600 juta kepada RM1.5 bilion.
Menurut penganalisis, kenaikan peruntukan tinggi itu yang diumumkan Anwar menjadi pemangkin kepada kecepatan pembangunan infrastuktur seperti projek bekalan air, pengukuhan grid elektrik serta hubungan darat.

“Daripada keseluruhan 29 tuntutan MA63, sebanyak 13 perkara telah diselesaikan menerusi Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 (MTPMA63) yang dipengerusikan sendiri oleh Anwar bersama Ketua Menteri Sabah dan Premier Sarawak, menunjukkan pendekatan perundingan tiga wilayah yang konsisten, bukan sekadar janji sekali sahaja.
“Antara pencapaian ketara termasuk pengiktirafan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sabah sebagai jabatan teknikal, proses Borneonisasi jawatan utama Persekutuan yang menghampiri 70 peratus, serta pelaksanaan projek bekalan air luar bandar bernilai RM4.06 bilion yang diserahkan terus kepada Kerajaan Negeri Sabah,” katanya.
“Projek mega seperti Lebuhraya Pan Borneo turut dipercepatkan, manakala Sambungan Kabel Dasar Laut MADANI (SALAM) bernilai RM2 bilion dibangunkan bagi merapatkan jurang digital antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung,”

Projek Bekalan Air Sabah bernilai RM1 bilion bagi menggantikan paip usang turut menunjukkan keutamaan diberikan kepada keperluan asas rakyat, bukan sekadar infrastruktur besar yang kelihatan megah tetapi tidak menyentuh kehidupan harian.
Anwar ketika membentangkan Belanjawan 2023 mengumumkan peruntukan RM20 billion untuk menyegerakan projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah dan Sarawak-Sabah Link Road (SSLR) sepanjang lebih 1,000 kilometer.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg turut mengalu-alukan usaha memperkasakan MA63 yang kini diangkat sebagai komitmen peringkat kebangsaan, bukan lagi dipandang sepi seperti sebelumnya.
Walaupun kemajuan ini ketara, masih terdapat tuntutan belum dimuktamadkan sepenuhnya, khususnya pembahagian hasil petroleum dan kuasa pendidikan, menunjukkan perjalanan menyempurnakan semangat MA63 masih memerlukan usaha berterusan melangkaui satu penggal pemerintahan.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
