Pemaju, Pemilik Tanah Mesti Bertanggungjawab Kes Tanah Runtuh – Kon Yeow

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow meninjau lokasi kejadian tanah runtuh dan menziarahi keluarga mangsa di Taman Seri Rambai, Paya Terubong, Pulau Pinang pada 27 Oktober 2026. Foto Chow Kon Yeow
GEORGE TOWN, 27 Okt – Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow menuntut pihak pemaju serta pemilik tanah di kawasan cerun berhampiran lokasi tanah runtuh di Taman Seri Rambai, Paya Terubong di sini, bertanggungjawab terhadap kejadian itu yang telah meragut nyawa seorang doktor berusia 73 tahun, kelmarin.
Tegas Kon Yeow, kedua-dua pihak mesti bertanggungjawab termasuk bersedia dari segi implikasi undang-undang serta langkah untuk memulihkan kawasan yang terjejas.

“Mereka perlu bertanggungjawab terhadap kesan-kesan daripada runtuhan ini seperti memikul implikasi undang-undang dari segi kelulusan pelan itu dan kerja-kerja mitigasi untuk memulihkan keselamatan tapak,” katanya.
Kejadian yang meragut nyawa doktor berkenaan wajar dijadikan iktibar dan pengajaran buat semua pihak agar tidak melakukan kerja-kerja yang boleh membahayakan nyawa dan alam sekitar.

Kon Yeow turut meneliti lokasi kejadian tanah runtuh itu dengan ditemani oleh beberapa Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Hadir sama Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Mohamad Shoki Hamzah.
Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata, ketika ini, pihaknya telah menerima laporan daripada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Pulau Pinang serta draf laporan kejadian daripada Jabatan Kejuruteraan MBPP.

Katanya, laporan awal mendapati, runtuhan itu berlaku pada bahagian tapak yang belum menjalani kerja penstabilan cerun manakala hujan berterusan sejak beberapa hari lalu dipercayai menyebabkan resapan air lebih banyak ke dalam tanah dan menambah bebanan pada cerun berkenaan.
Bagaimanapun katanya, punca sebenar kejadian masih perlu diteliti sebelum sebarang kesimpulan dapat dibuat dengan laporan lengkap mengenai insiden itu dijangka dibentangkan dalam tempoh satu hingga dua hari lagi.

Dalam pada itu, beliau berkata, MBPP dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) telah diminta untuk mengarahkan semua pemaju projek pembangunan, khususnya di kawasan cerun, meningkatkan pemantauan tapak sepanjang musim hujan.
“Kerja pembinaan tertentu juga boleh dihentikan sementara bagi membolehkan pemantauan keselamatan diberi keutamaan dan langkah mitigasi segera dilaksanakan sekiranya perlu,” katanya.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
