Pelarian Myanmar: Fasa Kedua Babit 3,524 Orang Menyusul – Fahmi
Menteri Komunikasi merangkap Jurucakap Kerajaan MADANI, Datuk Seri Fahmi Fadzil pada sidang media mingguan pasca mesyuarat kabinet di Putrajaya pada 30 September 2026. Foto Kementerian Komunikasi
PUTRAJAYA, 30 Sep – Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, seramai 3,524 pelarian warganegara Myanmar akan dihantar pulang ke negara asal menerusi program penghantaran pulang secara sukarela fasa kedua.
Beliau yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan ketika sidang media mingguan pasca mesyuarat kabinet berkata, bagi fasa kedua penghantaran pulang itu dilakukan dengan persetujuan bersama kerajaan negara itu juga akan dilakukan secara sukarela.

Jemaah Menteri telah dimaklumkan tentang perkara itu dan penghantaran pulang pertama semalam juga dijalankan secara sukarela membabitkan beberapa pusat tahanan di Kelantan dan Kedah.
“Bagi fasa kedua pula, seramai 3,524 pelarian Myanmar dipersetujui bersama pihak Myanmar akan dihantar pulang pada peringkat seterusnya.

“Fasa pertama berjaya dilaksanakan semalam membabitkan seramai 1,476 orang yang mana individu ini sudah dikenal pasti oleh pihak Myanmar dan nama-nama ini sudah dikemukakan melalui nota diplomatik bertarikh 13 Ogos 2026 kepada Malaysia,” katanya.
Terdahulu, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Kerajaan MADANI komited dalam memastikan usaha menangani isu pelarian Myanmar dilaksanakan dengan mengutamakan keselamatan dan kepentingan rakyat Malaysia.

Menzahirkan komitmen itu menerusi hantaran di media sosial, Perdana Menteri berkata, komitmen itu menjadi asas dalam usaha kerajaan menyelesaikan isu berkenaan secara tuntas termasuk menerusi kerjasama dengan Myanmar bagi penghantaran pulang pelarian secara sukarela dan berperingkat.
Malah, Anwar menegaskan, kerajaan turut mengambil langkah lebih tersusun dalam menangani persoalan itu menerusi penguatkuasaan, penyelarasan antara agensi dan kerjasama dengan negara asal.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
