Pecah Amanah RM37.37 Juta: Bekas CEO UiTM Mengaku Tak Bersalah

IMG_6984

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) UiTM Holdings Sdn Bhd, Azlizan Fadzil, 53, (berkerusi roda) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, Shah Alam atas tuduhan pecah amanah membabitkan RM37.37 juta, sembilan tahun lalu. Foto The Edge

SHAH ALAM, 1 Okt – Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) UiTM Holdings Sdn Bhd, Azlizan Fadzil, 53, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas tuduhan pecah amanah membabitkan RM37.37 juta, sembilan tahun lalu.

Azlizan yang berkerusi roda meminta dibicarakan sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin.

“Tidak mengaku bersalah,” katanya yang berbaju kemeja biru cair dan dibenarkan duduk di luar kandang tertuduh.

Berdasarkan pertuduhan, Azlizan sebagai CEO UiTM Holdings diamanahkan penguasaan RM37,374,612.68 yang diperuntukkan bagi tujuan pelaburan pembangunan penjanakuasaan elektrik solar photovoltaic berskala besar dengan saiz 50 megawatt (MW) di Gambang, Pahang.

Beliau didakwa melakukan pecah amanah jenayah ke atas harta terbabit dengan secara tidak jujur menyalahgunakannya dengan membuat pelbagai pembayaran lain selain daripada tujuan ditetapkan.

Kesalahan itu didakwa dilakukannya di Affin Bank Berhad Cawangan UiTM Shah Alam, di sini, antara 2 Februari dan 2 Oktober 2017.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara dua hingga 20 tahun, sebat dan denda.

Oleh Muhamad Lokman Khairi

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *