Pasang Bendera Terbalik: Kakitangan MCA Letak Jawatan Serta-Merta

Foto serta video yang memaparkan Jalur Gemilang serta bendera negeri Perak dipasang secara terbalik di bangunan MCA Perak pada 28 Ogos 2026. Foto tular
IPOH, 28 Ogos – Parti komponen Barisan Nasional (BN), MCA Perak mengambil tanggungjawab sepenuhnya berhubung kesilapan pemasangan Jalur Gemilang dan bendera negeri Perak secara terbalik yang tular di media sosial hari ini.
Sehubungan insiden berkenaan, kakitangan terlibat difahamkan sudah meletakkan jawatan serta-merta.
Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan Negeri MCA Perak, Datuk Dr Mah Hang Soon, berkata pihaknya memandang serius kejadian itu dan memohon ampun kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah serta memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia berhubung kesilapan berkenaan.

Beliau berkata, kedua-dua bendera terbabit sudah diturunkan sebaik sahaja kesilapan disedari sebelum dikibarkan semula dalam kedudukan yang betul.
“MCA Perak mengambil tanggungjawab sepenuhnya dan memandang serius insiden ini. Kesilapan yang tidak disengajakan itu sudah diperbetulkan segera, manakala pihak yang terbabit melakukan kesilapan itu sudah meletakkan jawatan serta-merta,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mah berkata, kejadian berlaku pagi tadi apabila seorang kakitangan Ibu Pejabat MCA Perak yang ditugaskan memasang Jalur Gemilang serta bendera negeri Perak sempena sambutan Bulan Kebangsaan melakukan kesilapan berkenaan.
Beliau berkata, pihaknya menegaskan bahawa kejadian itu tidak disengajakan dan tiada niat untuk menghina Jalur Gemilang atau bendera negeri Perak.
“Pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh sudah hadir ke pejabat MCA Perak kira-kira jam 1 tengah hari tadi bagi menjalankan siasatan serta merakam percakapan kakitangan terbabit dan pegawai pentadbiran ibu pejabat.
“MCA Perak sudah dan akan terus memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa berkaitan insiden ini,” katanya.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

