PANAS – Macron Panggil Balik Duta Di Amerika Syarikat Dan Australia!

PARIS, 18 Sep – Perancis memanggil pulang dutanya ke Amerika Syarikat (AS) dan Australia berkuatkuasa serta-merta, lapor Bloomberg awal pagi tadi.

Paris mengarahkan kedua-dua duta mereka meninggalkan Washington dan Canberra sebagai tanda protes susulan pembatalan kontrak projek kapal selam bersama Australia.

Ia tindakan yang belum pernah berlaku sebelum ini, sekali gus menunjukkan negara itu berang dengan tindakan dua negara sekutu terbabit.

Menteri Luar Perancis, Jean-Yves Le Drian berkata, Presiden Emmanuel Macron mengarahkan duta negara itu pulang selepas Canberra membatalkan perjanjian pembelian kapal selam Perancis dan memilih kapal selam buatan AS.

Katanya, keputusan itu dibuat ‘serta merta’ berikutan ‘pengumuman serius’ luar biasa Australia dan AS pada 15 September lalu.

Beliau berkata, tindakan ‘meninggalkan’ projek kapal selam diusahakan antara Australia dan Perancis sejak tahun 2016 adalah ‘perbuatan’ tidak dapat diterima antara sekutu dan pihak menyokong.

“Akibatnya, ia memberi kesan kepada konsep yang kita miliki terhadap pakatan, perkongsian dan kepentingan Indo-Pasifik untuk Eropah,” katanya dalam kenyataan.

Rabu lalu, Presiden AS, Joe Biden mengumumkan pakatan pertahanan Australia-AS-Britain baharu bagi memperluas teknologi kapal selam nuklear AS ke Australia termasuk pertahanan siber, kecerdasan buatan dan kemampuan bawah laut.

Perjanjian ini dimeterai bagi ‘berdepan’ kebangkitan China di Asia Pasifik namun ia membuat Perancis ‘berang’ berikutan kehilangan kontrak membekalkan kapal selam konvensional ke Australia bernilai AUS$50 bilion ketika ditandatangani pada tahun 2016.

Seorang pegawai Rumah Putih menyatakan rasa kesal atas keputusan Perancis itu tetapi menegaskan pihaknya akan mengadakan perbincangan dalam beberapa hari lagu bagi menyelesaikan sebarang perbezaan yang timbul.

Sementara itu, jurucakap Pentagon, John Kirby mengakui perbincangan menerusi telefon sebelum ini antara Setiausaha Pertahanan AS, Lloyd Austin dan rakan sejawatnya dari Perancis, Florence Parly menunjukkan masih banyak yang perlu dilakukan dalam hubungan pertahanan mereka dengan Perancis.

– AFP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *