Naik Gaji Minima, e-Invois Dan Suram Nasib PKS
Sektor perkilangan juga turut terkesan dengan konflik di Asia Barat yang menyebabkan krisis bekalan tenaga global dan kos pengeluaran meningkat. Foto Luqman Hakim Zubir.
PENDAPAT, 1 Okt – Ramai cepat menuduh cadangan menaikkan lagi gaji minima sekadar gula-gula politik untuk memancing undi. Hakikatnya, dari sudut risiko politik, langkah ini sebenarnya sangat bahaya.
Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) menyumbang hampir 40 peratus kepada KDNK negara. Apabila kos buruh dinaikkan mendadak, peniaga yang tersepit tiada pilihan selain memotong gaji pekerja atau menaikkan harga barang yang akhirnya ditanggung pengguna.
Kesannya?
Inflasi melonjak, rakyat marah, dan sokongan kerajaan terhakis. Mana-mana pentadbiran tidak akan mengambil risiko sebesar ini semata-mata nak menagih undi singkat.
Sebab sebenar langkah ini diambil adalah untuk memaksa negara keluar daripada perangkap ekonomi buruh murah. Kita dah terlalu lama bangga kilang gergasi terpacak di Kulim atau Bayan Lepas, tapi hakikatnya pekerja kita sekadar buat kerja pemasangan cip dan cat kereta.
Kerja kuli di tingkat bawah, manakala jawatan tinggi dan R&D semuanya lari ke negara jiran. Ketagihan pada tenaga kerja murah inilah yang membuatkan industri tempatan malas melabur dalam mesin dan teknologi.
Dari sudut visi, tindakan menghentak struktur ekonomi ini memang patut disokong. Malaysia perlukan kejutan supaya industri tempatan tidak terus selesa di takuk lama. Logiknya mudah: bila kos buruh makin mahal, barulah pelaburan dalam automasi dan AI nampak berbaloi di mata pemilik perniagaan.
Ini selari dengan Pelan Tindakan Malaysia Digital 2030 (MD2030) dan fokus TVET baharu. Kalau kita tak ubah dari sekarang, sampai bila-bila kita ketinggalan dalam rantaian teknologi global.
Cuma masalahnya, teori atas kertas tidak selalunya selari dengan bumi nyata. Kasihan juga bila melihat nasib pengusaha PKS di lapangan.
Belum sempat mereka bernafas menanggung kos pematuhan e-Invois untuk tukar sistem dan latih pekerja, perluasan skop SST pula melonjakkan kos bahan mentah serta logistik. Apabila gaji minima dinaikkan lagi di atas timbunan beban ini, pusingan modal peniaga terus jadi nyawa-nyawa ikan.
Di sinilah timbulnya jurang yang berbahaya. Automasi dan AI bukannya barang murah yang boleh dipasang sekelip mata. Macam mana PKS nak beli mesin canggih atau perisian baharu kalau wang tunai syarikat dah licin disedut cukai dan kos pematuhan undang-undang?
Akhirnya, bukannya peniaga beralih ke teknologi, sebaliknya mereka terpaksa bekukan pengambilan pekerja, kecilkan pasukan, atau naikkan harga barang untuk bertahan hidup.
Niat kerajaan untuk memodenkan ekonomi negara memang wajar dipuji, tapi jangan sampai sektor PKS yang menjadi tulang belakang negara gulung tikar di tengah jalan. Dasar yang tegas mesti diiringi dengan bantuan praktikal yang cepat, seperti rebat cukai terus untuk kos e-Invois dan geran padanan automasi mikro tanpa birokrasi berbelit.
Kita mahu PKS bergerak maju bersama-sama, bukannya muflis di tepi jalan sewaktu mengejar bas pemodenan ini.
Oleh Lai Chen Heng
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web




